Berita Dunia
Houthi Yaman lancarkan peluru berpandu ke arah Arab Saudi
SANAA 14 JULAI - Kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman berkata, mereka telah melancarkan serangan ke atas Lapangan Terbang Abha di Arab Saudi pada Isnin.
Ia dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas Lapangan Terbang Sanaa yang didakwa dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi, walaupun kerajaan Yaman yang disokong Riyadh mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
"Sebagai tindak balas terhadap pencerobohan jenayah oleh Arab Saudi ini, Angkatan Tentera Yaman telah melaksanakan operasi ketenteraan yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Abha menggunakan beberapa peluru berpandu balistik dan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV),” kata jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree dalam satu kenyataan video.
Beliau turut memberi amaran kepada semua syarikat penerbangan supaya tidak menggunakan ruang udara Arab Saudi dan menegaskan bahawa amaran tersebut perlu dipandang serius sehingga sekatan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa ditarik balik.
Kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi mengaku bertanggungjawab terhadap serangan ke atas lapangan terbang yang dikuasai Houthi itu dengan alasan mahu menghalang sebuah pesawat Iran daripada mendarat.
Tindakan itu diambil selepas pihak berkuasa gagal memujuk delegasi Houthi yang menghadiri upacara pengebumian Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, di Teheran supaya menaiki penerbangan syarikat penerbangan nasional Yemenia.
Peningkatan ketegangan terbaharu itu mengancam gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 2022 walaupun tempohnya telah tamat.
Ia juga berlaku ketika ketegangan di rantau Teluk semakin memuncak susulan serangan balas antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang turut menjejaskan pelayaran di Selat Hormuz.
Teheran mengutuk serangan ke atas Lapangan Terbang Sanaa dengan jurucakap Kementerian Luar Iran menyifatkannya sebagai pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa.
Berita berkaitan
August 7, 2026, 8:45 pm
Guru maut, 4 cedera insiden tembakan di sekolah Thailand
August 6, 2026, 11:38 am
Kera ekor panjang mengamuk, hampir 20 mangsa cedera parah akibat serangan
August 6, 2026, 10:14 am
Lelaki Malaysia ditahan seludup ganja, syabu RM1.2 juta di Woodlands
August 5, 2026, 4:09 pm
Bawa pekerja islam masuk gereja, tindakan majikan cetus pertikaian ramai
August 4, 2026, 6:07 pm
Ibu ikan lumba-lumba sedih usung bangkai anak ditemani kawan-kawan
July 31, 2026, 2:32 pm
Juruterbang warga Malaysia ditahan di Jakarta, cuba seludup 26kg dadah
July 31, 2026, 11:25 am
Kerajaan Sepanyol arah tentera kawal ratusan migran berenang dari Maghribi ke Ceuta
July 30, 2026, 11:53 am
CCTV rakam kucing kesan gempa bumi lebih awal di Jepun
July 29, 2026, 5:54 pm
Ahli politik Kanada dikecam lepas baca arahan AI masa sidang dewan
July 28, 2026, 6:23 pm
