Berita Berita
'Kes buli di sekolah sudah jadi penyakit akhlak' - Anwar
NILAI 17 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu disiplin termasuk kes buli dan penghinaan kaum di sekolah perlu ditangani segera kerana ia mencerminkan kelemahan dalam sistem pendidikan sedia ada.
Beliau berkata, walaupun pendidikan agama kini semakin diperkasakan, masalah akhlak dalam kalangan pelajar masih berlaku dan tidak boleh dipandang ringan.
"Kalau kita bongkar betul-betul, hari-hari ada kes buli..ini tak boleh, maknanya (buli) menjadi satu penyakit..penyakit akhlak.
"Bagi saya, inilah perkara yang perlu diberi keutamaan dalam pendidikan. Kadangkala kita terlupa bahawa teras pendidikan ialah membina nilai kemanusiaan yang berasaskan adab dan akhlak.
"Seseorang mungkin bijak, cemerlang dan memiliki kelulusan yang tinggi sehingga ke peringkat PhD, tetapi jika dia tidak memahami nilai kemanusiaan dan tidak tahu menghormati orang lain, maka kita perlu bertanya apakah sebenarnya yang dipelajarinya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Temu Anwar bersama pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik di Kompleks Pendidikan Nilai pada Jumaat.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Anwar turut menegur sikap segelintir pihak sekolah yang lebih mengutamakan imej institusi berbanding kebajikan murid yang menjadi mangsa buli.
"Saya tidak melihat seseorang guru besar atau pengetua sebagai gagal sekiranya mereka mendedahkan berlakunya kes buli di sekolah. Sebuah sekolah mungkin mempunyai seribu orang pelajar dan hanya dua kes buli berlaku. Itu tidak bermakna pengetua tersebut gagal.
"Sebaliknya, yang menjadi kesalahan ialah apabila kes itu disembunyikan atau tiada tindakan diambil untuk melindungi mangsa dan menangani masalah berkenaan," katanya.
Pada sesi itu, Perdana Menteri turut menyifatkan prestasi bidang perguruan negara berada pada tahap yang amat baik, namun perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan kualiti pendidikan negara mencapai tahap tertinggi.
Beliau berkata, warga pendidik memikul tanggungjawab besar untuk memastikan institusi pendidikan bukan sahaja menjadi tempat menimba ilmu, malah melahirkan generasi yang beriman, berakhlak dan mempunyai sifat ihsan terhadap sesama manusia.
Berita berkaitan
August 10, 2026, 9:03 pm
Rafizi dakwa kerajaan Madani belum lunaskan komitmen RM12.5 bilion kepada Tabung Haji
August 10, 2026, 8:36 pm
Wong Chen letak jawatan ahli parlimen, PRK Subang bakal menyusul
August 10, 2026, 4:13 pm
JPN sahkan anak lelaki warga Bangladesh layak miliki MyKad
August 10, 2026, 3:54 pm
Myanmar sedia bawa pulang 5,000 pelarian menggunakan kapal - Tok Mat
August 10, 2026, 3:01 pm
Rafizi dakwa Kerajaan Madani gagal bayar penuh komitmen pulihkan Tabung Haji
August 10, 2026, 2:53 pm
Polis serbu penempatan warga asing buru suspek rogol wanita OKU
August 10, 2026, 2:49 pm
Polis tumpaskan sindiket culik warga asing, dua suspek ditembak mati
August 10, 2026, 2:44 pm
Jangan biarkan kelompok ekstremis rosakkan perpaduan - Kor Ming
August 10, 2026, 1:17 pm
