Berita Sukan
Aksi ulangan JDT-UM Damansara, pertembungan gergasi Sabah-Selangor hangatkan Piala FA 2026/2027
KUALA LUMPUR 24 OGOS — Saingan Piala FA bagi musim 2026/2027 dijangka terus hangat selepas keputusan undian pusingan 16 pasukan terbaik diumumkan secara rasmi oleh Malaysian Football League (MFL) hari ini.
Sesi undian tersebut menyaksikan penyertaan 16 pasukan yang terdiri daripada 12 kelab Liga Super dan empat wakil Liga A1 Semi-Pro, iaitu Kedah FA, Perak FA, UM-Damansara United serta Kelantan City.
Tumpuan utama kejohanan terarah kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang diundi menentang kelab Liga A1 Semi-Pro, UM-Damansara United.
Pertemuan ini merupakan edisi ulangan pusingan sama musim lalu, yang menyaksikan Harimau Selatan mencatatkan kemenangan agregat 10-3 menerusi keputusan 5-0 pada perlawanan pertama dan 5-3 pada perlawanan kedua.
Untuk rekod, JDT menjulang piala berkenaan musim lalu selepas membelasah Sabah FC 5-0 dalam aksi final.
Satu lagi perlawanan tumpuan dijangka sengit mempertemukan naib juara musim lalu, Sabah FC yang bakal berdepan cabaran gergasi Lembah Klang, Selangor FC bagi merebut slot ke peringkat seterusnya.
Dalam pada itu, naib juara Piala Sumbangsih, Kuching City FC, diundi menentang pendatang baharu Liga Super, Kelantan Red Warrior FC (KRW FC).
Bagi aksi lain dalam pusingan 16 terbaik, Perak FA akan berdepan KL City FC, DPMM FC menentang Terengganu FC, manakala Kedah FA bakal bertemu Star City FC.
Dua lagi perlawanan menyaksikan Kelantan City FC berdepan Negeri Sembilan FC dan Melaka FC berentap dengan Penang FC.
Dalam sesi undian tersebut, lapan pasukan yang menamatkan saingan Liga Super 2025/2026 di kedudukan lapan teratas telah diberikan status 'seeded', manakala nasib baki kelab lain ditentukan menerusi undian terbuka.
Format pertandingan bagi musim ini mengekalkan aksi secara timbal balik untuk pusingan 16 terbaik, suku akhir dan separuh akhir, sebelum kemuncak perlawanan final yang dijadualkan berlangsung sekitar Januari tahun depan.
Saingan Piala FA musim ini akan memulakan sepak mula rasmi pada September depan.
Berita berkaitan
September 14, 2026, 9:27 am
Tak berhenti walau dah tercicir, atlet wanita buang air besar dalam seluar masa Hyrox
September 9, 2026, 12:27 pm
Basikal atlet 'ironman' Malaysia hilang, kali terakhir nampak di KLIA
September 9, 2026, 10:20 am
Piala FA: JDT ledak 10 gol tendang UM-Damansara keluar saingan
September 9, 2026, 10:14 am
Piala FA: Bumi Perlis saksi Star City mara ke suku akhir
September 9, 2026, 10:11 am
Piala FA: Gol jarak jauh bantu Kelantan City singkir Negeri Sembilan di Paroi
September 9, 2026, 9:57 am
Piala FA: Kuching City belasah KRW, mara ke suku akhir
September 7, 2026, 11:25 am
Selangor bangkit kutip 3 mata ke atas Melaka sebelum wisel penamat ditiupkan
September 7, 2026, 9:49 am
Tunku Mahkota Ismail dinobat Pemain Terbaik JSCPT 2026
September 6, 2026, 9:42 am
Kuching City leburkan rekod tanpa kalah Sabah
September 6, 2026, 9:36 am
