Berita Dunia
Langit dah warna oren, Indonesia masih berdegil tak mahu isytihar darurat
JAKARTA 14 OKTOBER — Langit bertukar oren pekat seakan-akan kiamat kecil sedang berlaku, manakala jerebu tebal daripada kebakaran hutan merebak rakus kini menyelubungi segenap sudut bandar ini.
Suasana mencekam yang melanda ibu kota Kalimantan Tengah itu menyaksikan kehidupan seharian ribuan penduduk seolah-olah tersangkut dalam sebuah babak filem apokalips, apabila cahaya matahari langsung terlindung di sebalik kepulan asap beracun.
Keadaan udara yang semakin kritikal itu menjejaskan jarak penglihatan di jalan-jalan utama hingga membahayakan pengguna jalan raya.
Pemandu kereta mahupun penunggang motosikal terpaksa menyalakan lampu kenderaan masing-masing pada waktu siang demi meredah kabus tebal yang menyelimuti laluan.
Malah, sebahagian besar deretan kediaman serta bangunan di kawasan perumahan lenyap daripada pandangan mata kasar akibat dihalang jerebu pekat yang bertiup kencang.
Perkembangan buruk tersebut mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat setempat yang menyifatkan fenomena itu antara yang terburuk.
Nada cemas dan ketakutan jelas kedengaran menerusi rakaman video penduduk yang menyaksikan persekitaran mereka bertukar menjadi kekuningan dalam sekelip mata.
Bau hangit yang menyengat turut menerobos masuk ke dalam premis serta kediaman, sekali gus memburukkan lagi keadaan.
Krisis fenomena itu menjadi semakin parah apabila pemerintah Indonesia masih enggan mengisytiharkan bencana itu sebagai darurat.
Sikap acuh tak acuh dan keengganan berbuat demikian mencetuskan kemarahan ramai, terutamanya apabila pencemaran asap beracun tersebut ditiup angin merentasi sempadan hingga menjejaskan negara jiran seperti Malaysia dan Singapura.
Peningkatan indeks pencemaran udara di kedua-dua negara jiran itu memaksa rakyat serantau turut menanggung derita dan sesak nafas akibat bencana tahunan yang berulang tanpa penyelesaian tegas.
Berita berkaitan
November 12, 2026, 10:20 am
Gibran letak jawatan Naib Presiden Indonesia susulan kontroversi kelayakan akademik
November 11, 2026, 10:07 am
'Macam tragedi di Nepal', empangan Pakistan runtuh lagi
November 10, 2026, 3:26 pm
Belum bayar pampasan pada penduduk kampung, lelaki nekad robohkan bangunan kerajaan
November 9, 2026, 4:32 pm
'Boleh bawa masuk 2 sahaja', 58 iPhone dari Malaysia dimusnahkan di Indonesia
November 6, 2026, 12:31 pm
Presiden Paraguay letak jawatan selepas kejatuhan bank digital bekukan akaun jutaan rakyat
November 5, 2026, 10:16 am
Anggota polis maut terkena bilah kipas pesawat
November 2, 2026, 9:58 am
'Macam dalam movie', 9 nyawa melayang lepas jet peribadi terhempas menyembah bumi
October 30, 2026, 10:42 am
Hujan berterusan, 'cyclone' Arnab punca air dari tanah naik di Thailand
October 22, 2026, 1:59 pm
