TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Ya, kita sedang usaha' - Anthony maklum MOT usaha atasi kesesakan tren selepas PMX bersuara

By
|
Kongsi
image

PETALING JAYA 5 Nov – Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang berusaha menyelesaikan masalah kesesakan perkhidmatan tren, termasuk menangani pelbagai cabaran teknikal yang dihadapi pengendali pengangkutan awam berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya bersama Rapid KL sedang mengambil langkah penambahbaikan bagi memastikan perkhidmatan tren dapat beroperasi dengan lebih lancar dan memenuhi keperluan pengguna.

"Ya, sedang diusahakan oleh pihak Rapid KL untuk kita (MOT) menghadapi pelbagai cabaran teknikal. Kita akan cuba menyelesaikan isu-isu teknikal untuk menambah baik (perkhidmatan)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Jalinan Mesra Kementerian Pengangkutan Bersama Pengamal Media Tamil di sini, hari ini.

Pada 30 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Pengangkutan supaya segera menangani masalah kesesakan tren yang dikhuatiri menjejaskan rutin harian rakyat.

Arahan itu dibuat susulan rungutan seorang pengguna menerusi platform Threads yang membangkitkan keadaan sesak di stesen tren kepada Perdana Menteri.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, kekerapan perkhidmatan kereta api turut ditambah sempena musim perayaan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam untuk pulang ke kampung halaman.

Menurutnya, perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke negeri-negeri di Pantai Barat, termasuk Kedah dan Johor, menerima sambutan menggalakkan daripada penumpang.

"Kita sudah pun menambah perjalanan menjelang Deepavali ini dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berusaha memastikan kekerapan perkhidmatan dapat ditingkatkan supaya lebih ramai rakyat boleh menggunakan tren untuk pulang (ke kampung)," katanya.

Sementara itu, Loke berkata, majlis bersama pengamal media Tamil sempena Deepavali itu bertujuan mengeratkan hubungan dengan pihak media bagi memastikan maklumat berkaitan dasar pengangkutan, keselamatan jalan raya dan perkhidmatan kementerian dapat disampaikan dengan jelas kepada masyarakat, termasuk komuniti India.

+ - reset