Berita Ekonomi
MyAirline diarah bayar RM17.7 juta caj perkhidmatan tertunggak
KUALA LUMPUR 16 Ogos - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, mengarahkan syarikat penerbangan tambang rendah, MYAirline Sdn Bhd membayar RM17.7 juta caj perkhidmatan lapangan terbang tertunggak kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd dan Malaysia Airports Sdn Bhd.
Ia membabitkan RM9.1 juta kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd sementara RM8.6 juta untuk Malaysia Airports Sdn Bhd.
Caj tertunggak yang didakwa itu ialah caj perkhidmatan dan keselamatan penumpang berjumlah RM10,863,478.90; pendaratan (RM5,445,555.45); parkir (RM176,017.92); aerobridge (RM655,760); kaunter daftar masuk (RM267,367) dan caj bayaran lewat (RM339,373.72).
Mahkamah turut membenarkan MYAirline sebagai defendan membayar kos RM10,000 kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd dan Malaysia Airports Sdn Bhd selaku plaintif.
Terdahulu, Pesuruhjaya kehakiman, Gan Techiong turut menolak permohonan MYAirline dengan kos RM30,000 untuk membatalkan saman yang difailkan oleh dua plaintif itu dan meneruskan dengan penghakiman terus (tanpa perbicaraan).
Ketika membaca keputusan itu, Techiong berkata, tiada isu remeh mengenai liabiliti, kerana syarikat penerbangan itu telah menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh plaintif.
Pada 9 November 2023, dua plaintif itu memfailkan permohonan untuk mendapatkan penghakiman terus, kerana wang dituntut daripada defendan masih terakru dan terhutang selain defendan tidak mempunyai sebarang pembelaan terhadap tindakan saman itu.
MYAirline memfailkan permohonan pada 24 November 2023 untuk membatalkan saman itu atas alasan plaintif perlu menggunakan satu mekanisme penyelesaian pertikaian seperti dinyatakan dalam Seksyen 74 hingga 78 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 sebelum memfailkan saman tersebut.
Susulan itu, defendan mendakwa, tindakan plaintif adalah tidak sah atau pramatang kerana mereka tidak mematuhi serta tidak menggunakan mekanisme penyelesaian pertikaian tersebut.
Pada 18 Oktober 2023, plaintif-plaintif menyaman MYAirline kerana gagal membayar enam jenis caj perkhidmatan berjumlah RM17,747,553.02 antara Mac hingga Ogos 2023.
Pada prosiding itu, peguam Shannon Rajan, Eric Gomez dan Katelyn Yeoh mewakili Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd dan Malaysia Airports Sdn Bhd manakala Nesema Jalaludheen mewakili MYAirline.
Sebelum ini, MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa 12 Oktober 2023.
Tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu. - Sinar Harian
#MYAIRLINE #CAJPERKHIDMATANTERTUNGGAK #EKONOMI
Berita berkaitan
July 9, 2026, 4:02 pm
OPR kekal 2.75 peratus, ekonomi semakin kukuh
July 8, 2026, 3:08 pm
Dr. Hanafi dilantik CEO baharu Estika Medispa, catat lonjakan jualan 100 peratus
May 7, 2026, 5:14 pm
BNM kekalkan OPR pada kadar 2.75 peratus bagi tahun 2026
April 20, 2026, 12:12 pm
Pelabur luar borong RM9.5 bilion bon tempatan, Ringgit terus juara di Asia
April 18, 2026, 4:43 pm
Gangguan bekalan minyak Caltex di 5 negeri utara dan timur
April 10, 2026, 11:06 am
Bank Dunia saran Malaysia naikkan harga RON95 kepada RM2.05 seliter, kurangkan beban subsidi
April 9, 2026, 10:36 pm
Shell Malaysia mohon maaf, jamin akan utamakan bekalan stabil
April 7, 2026, 2:21 pm
Saham IJM Corp menyusut, Sunway Bhd meningkat susulan kegagalan tawaran pengambilalihan
April 1, 2026, 7:39 pm
