TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemandu van mengaku tidak bersalah rempuh penunggang motosikal hingga maut di Senawang

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 7 Mei - Seorang pemandu van didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam kejadian yang tular di media sosial minggu lalu.

Tertuduh, P Mohan, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farha Sulaiman.

Dia didakwa memandu van Toyota Hiace secara berbahaya hingga menyebabkan kematian Muhammad Annas Iskandar Mohd Khairi, 21, pada jam 11.59 malam, 3 Mei lalu di Jalan Persiaran Senawang 1, berhampiran lampu isyarat Matahari Height.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 10 tahun, denda RM20,000 hingga RM50,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tidak kurang lima tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal memohon tarikh bagi laporan PUSPAKOM, forensik dan kimia selain mencadangkan jaminan RM15,000 serta penggantungan lesen tertuduh sehingga kes selesai.

Peguam Rajindar Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya hanya memperoleh pendapatan sekitar RM3,000 hingga RM3,500 dan menanggung isteri serta dua anak yang masih belajar.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 dan mengarahkan lesen memandu tertuduh digantung serta-merta, dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Julai ini.

+ - reset