Berita Dunia
Tsunami Jepun: Pekerja loji nuklear Fukushima dipindah, amaran meluas sekitar Pasifik
TOKYO 30 Julai - Jepun bertindak memindahkan semua pekerja di loji nuklear Fukushima pada Rabu susulan kejadian gempa bumi kuat berukuran magnitud 8.7 yang menggegarkan Timur Jauh Rusia, sekali gus mencetuskan amaran tsunami di kawasan sekitar Lautan Pasifik.
Jurucakap syarikat pengendali loji, Tokyo Electric Power Company (TEPCO), memaklumkan bahawa semua kakitangan di loji Fukushima Daiichi telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Katanya kepada agensi berita AFP, “Tiada sebarang isu luar biasa dikesan di tapak tersebut setakat ini.”
Menurut Agensi Meteorologi Jepun, amaran awal menunjukkan ombak setinggi satu meter dijangka melanda, namun bacaan itu kemudian dinaik taraf kepada tiga meter susulan peningkatan risiko, terutama di kawasan pantai timur dan utara negara itu sehingga ke Wakayama, selatan Osaka serta beberapa pulau kecil terpencil.
Teluk Tokyo dan Teluk Osaka turut berada dalam zon risiko, dengan ombak diramal mencapai setinggi satu meter antara pukul 10 pagi hingga 11.30 pagi waktu tempatan.
Menerusi kenyataan di platform X (dahulunya Twitter), agensi itu memberi peringatan tegas: “Tsunami akan melanda berulang kali. Jangan masuk ke laut atau mendekati pantai sehingga amaran ditarik balik.”
Dalam sidang media khas, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshimasa Hayashi menyeru penduduk agar segera berpindah dari kawasan pantai dan menuju ke lokasi selamat seperti kawasan tinggi atau bangunan yang ditetapkan sebagai pusat pemindahan.
“Penduduk di kawasan yang terlibat harus mengambil tindakan segera dan berpindah ke kawasan lebih selamat,” katanya.
Susulan situasi itu, beberapa perkhidmatan kereta api di sepanjang kawasan pesisir turut dihentikan, termasuk laluan di sekitar Chiba, Yokohama, Fujisawa serta sepanjang pantai Izu.
Sementara itu, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pada awalnya mencatatkan kekuatan gempa pada magnitud 8.0, namun bacaan kemudian dikemas kini kepada 8.8, menjadikan gegaran tersebut antara yang terkuat melanda rantau berkenaan dalam tempoh terkini.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Amerika Syarikat pula memberi amaran bahawa ombak melebihi tiga meter di atas paras air pasang dijangka melanda beberapa kawasan termasuk pantai Ecuador, bahagian barat laut Kepulauan Hawaii dan wilayah pesisir Rusia.
Gelombang setinggi antara satu hingga tiga meter turut diramalkan di beberapa pantai lain seperti Chile, Costa Rica, Polinesia Perancis, Guam, Hawaii, Jepun serta beberapa pulau di Pasifik.
Negara-negara lain yang dijangka menerima impak ombak setinggi satu meter termasuk Australia, Colombia, Mexico, New Zealand, Tonga dan Taiwan.
Pihak berkuasa turut mengingatkan bahawa fenomena ini masih belum berakhir dan situasi dianggap “berpotensi berbahaya” sehingga amaran ditarik balik sepenuhnya. - Agensi
Berita berkaitan
September 7, 2026, 10:12 am
Letusan Gunung Anak Krakatau: Lapangan terbang ditutup, 170,000 penumpang terkandas
September 3, 2026, 4:36 pm
'Asap tak ada ic, tak kenal sempadan', Menteri Indonesia ulas jerebu di Sarawak
September 3, 2026, 4:24 pm
Operasi robohkan masjid secara 'live' cetus kontroversi di India
August 30, 2026, 10:01 am
Detik cemas sekeluarga terperangkap dalam arus deras banjir di Nepal
August 29, 2026, 9:23 am
Banjir Nepal: Dua rakyat Malaysia berjaya dikesan, angka korban melepasi 500 orang
August 28, 2026, 2:52 pm
Polis tahan 2 suspek curi subang dari telinga mayat mangsa banjir di Nepal
August 27, 2026, 3:48 pm
Nepal terima kifarah? 3 minggu sebelum banjir, masjid diceroboh, al-Quran dibakar
August 27, 2026, 10:38 am
Warga emas tolak, tampar budak lepas gaduh dengan cucu
August 27, 2026, 10:16 am
