TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes tibi meningkat hampir 10 peratus, 2,571 kes dilaporkan awal 2026

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 10 Feb – Sebanyak 2,571 kes penyakit Tuberkulosis (tibi) direkodkan di seluruh negara bagi Minggu Epidemiologi ke-5 (ME 5/2026) melibatkan tempoh 1 Januari hingga 7 Februari, dengan kadar insiden 7.5 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, jumlah itu menunjukkan peningkatan 229 kes atau 9.8 peratus berbanding 2,342 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut KKM, tibi ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis dan merebak melalui udara, khususnya akibat kontak rapat dengan individu yang dijangkiti.

“Kes indeks merujuk kepada kes tibi yang dikenal pasti terlebih dahulu dan dijadikan rujukan utama dalam siasatan kontak serta usaha kawalan wabak,” menurut kenyataan KKM hari ini.

KKM turut menjelaskan bahawa kluster tibi ditakrifkan sebagai dua atau lebih kes yang mempunyai kaitan dari segi masa, lokasi atau hubungan kontak, sekali gus menunjukkan kemungkinan rantaian penularan yang sama.

Kluster berkenaan boleh berlaku dalam kalangan ahli keluarga, institusi, tempat kerja atau kontak rapat bukan keluarga dan diklasifikasikan sebagai aktif dalam tempoh enam bulan.

Bagi tahun 2025, sebanyak 88 kluster tibi membabitkan 254 kes dilaporkan di seluruh negara, dengan 35 kluster masih aktif.

Daripada jumlah itu, Selangor merekodkan kluster tertinggi iaitu 13 kluster (37 kes), diikuti Kedah enam kluster (13 kes), Sarawak lima kluster (27 kes) serta Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing lima kluster (14 kes).

Johor mencatatkan tiga kluster dengan tujuh kes, Kelantan dua kluster (lima kes) dan Terengganu satu kluster melibatkan dua kes.

Setakat 7 Februari lalu, sebanyak 10 kluster tibi masih aktif, melibatkan empat kluster di Selangor serta masing-masing satu kluster di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis dan Sabah.

KKM menegaskan, kluster tibi khususnya di institusi memerlukan perhatian serius kerana berpotensi meningkatkan penularan dalam komuniti.

“Tindakan kawalan termasuk pengesanan kontak, saringan serta promosi kesihatan akan dilaksanakan sebaik sahaja kluster diisytiharkan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengalami gejala seperti batuk melebihi dua minggu, demam, berpeluh pada waktu malam, hilang selera makan, penurunan berat badan atau batuk berdarah, serta mereka yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan pesakit tibi dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan awal di fasiliti kesihatan berhampiran.

KKM menegaskan pihaknya akan terus memantau situasi dan memperkukuh usaha pengesanan serta rawatan penyakit tibi di negara ini.

+ - reset