TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lima sekeluarga diikat dalam rumah, penyamun bawa lari wang tunai dan barang berharga RM130,000 di Melaka

By
|
Kongsi
image

 

MELAKA 9 Feb - Lima sekeluarga termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) melalui detik cemas apabila menjadi mangsa samun berkumpulan bersenjata di sebuah rumah di Kampung Air Resam, Durian Tunggal, di sini, malam Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, semua mangsa dipercayai diikat menggunakan pita pelekat sebelum lima lelaki bersenjatakan parang dan kayu melarikan pelbagai barang kemas, wang tunai kira-kira RM2,000, dua telefon bimbit serta dokumen pengenalan diri dengan anggaran kerugian sekitar RM130,000.

Mangsa terdiri daripada sepasang suami isteri, seorang anak, ibu berusia 73 tahun serta adik mangsa yang merupakan OKU fizikal.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku ketika seorang daripada mangsa berada di bahagian belakang rumah untuk membungkus susu segar sebelum didatangi lima lelaki tidak dikenali yang meluru masuk melalui pintu belakang rumah yang tidak berkunci.

“Suspek yang memakai baju hitam berhud serta penutup muka bertindak mengacukan parang dan kayu sebelum mengikat mangsa serta menggeledah rumah berkenaan bagi mencari barang kemas.

“Sebahagian mangsa turut dipukul dan dua mangsa mengalami kecederaan sebelum dibawa mendapatkan rawatan,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, suspek dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang rumah selepas menyedari kehadiran seorang penunggang motosikal yang datang ke hadapan rumah mangsa untuk mengambil bekalan susu.

Ahmad berkata, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian, namun polis menemui tujuh cap jari di tempat kejadian untuk dihantar ke Pusat Pengenalan Forensik (PIFOS) bagi tindakan lanjut.

“Unit Anjing Pengesan (K9) turut membawa kepada penemuan dua telefon bimbit yang dipercayai milik mangsa di laluan suspek melarikan diri.

“Kes disiasat sebagai samun berkumpulan bersenjata dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.

+ - reset