TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelukis mural ikonik ‘Kids on Bicycle, Ernest Zacharevic saman AirAsia

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 9 Feb - Isu pelanggaran hak cipta seni visual dibawa ke Mahkamah Tinggi hari ini apabila artis mural terkenal kelahiran Lithuania, Ernest Zacharevic, memfailkan saman terhadap AirAsia Berhad berhubung dakwaan penggunaan tanpa kebenaran karya ikoniknya, Kids on Bicycle, pada pesawat syarikat penerbangan itu tahun lalu.

Zacharevic yang berpangkalan di Pulau Pinang menamakan AirAsia Berhad sebagai defendan pertama dan syarikat induknya, Capital A Berhad, sebagai defendan kedua, dengan mendakwa kedua-duanya telah melanggar hak cipta serta hak moral beliau sebagai pencipta karya berkenaan.

Menurut pernyataan tuntutan, artis itu mendakwa pada Oktober 2024 beliau menyedari mural berkenaan telah dilukis semula pada sebuah pesawat AirAsia dan dipamerkan secara terbuka ketika pesawat itu beroperasi.

Plaintif mendakwa defendan telah menyalin, mempamerkan serta mengubah suai karya seni tersebut tanpa pengetahuan, lesen atau kebenarannya.

Beliau turut mendakwa penggunaan karya berkenaan bukan kejadian terpencil, sebaliknya mencerminkan corak penggunaan tanpa kebenaran oleh defendan dan pihak berkaitan dalam pelbagai kempen promosi serta pengiklanan sejak 2016.

Kids on Bicycle merupakan antara mural paling dikenali hasil sentuhan Zacharevic yang dilukis di Georgetown, Pulau Pinang pada 2012, sebelum dicat semula pada 2024.

Sehubungan itu, Zacharevic memohon mahkamah mengeluarkan perintah berhubung dakwaan pelanggaran hak cipta dan hak moral, selain kesalahan peniruan serta campur tangan tidak sah dalam perniagaannya.

Antara remedi yang dituntut termasuk pengisytiharan hak beliau sebagai artis, perintah larangan terhadap penggunaan karya tanpa kebenaran, serta arahan supaya semua bahan yang melanggar hak cipta dipadam dan dimusnahkan.

Beliau juga menuntut pampasan kewangan yang setimpal.

Zacharevic diwakili peguam, Joachim Francis Xavier.

+ - reset