Berita Berita
“Patuh undang-undang, selesai cerita” – pembangkang puji ketegasan Anwar arah roboh rumah ibadat haram
KUALA LUMPUR 9 Feb – Ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap rumah ibadat yang dibina di atas tapak tidak sah mendapat pujian rentas parti termasuk daripada pemimpin pembangkang.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menerusi hantaran di Facebook menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Tambun itu sambil menegaskan tuntutan peserta himpunan sebelum ini hanyalah pematuhan kepada undang-undang.
“Terima kasih YAB PMX. Inilah sebenarnya yang dituntut peserta himpunan malam kelmarin, iaitu patuh kepada undang-undang, tidak lebih daripada itu.
“Peraturan sudah ada, undang-undang sudah ada, patuh jelah. Tahniah kepada semua aktivis dan penggerak,” katanya pada Isnin.
Nada sama disuarakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengingatkan parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar tidak mengambil kesempatan daripada ketegasan kerajaan sehingga mencetuskan polemik berpanjangan.
Menurut beliau, negara tidak wajar terus dibebankan dengan kontroversi, perdebatan dan pertikaian yang boleh memanaskan hubungan kaum.
“Saya sokong pendirian tegas PMX supaya rumah ibadat haram, tidak kira agama apa sekalipun, dirobohkan. Buat operasi seluruh negara, habis cerita.
“Penguat kuasa mesti berani. Bawa polis semasa operasi dan tahan mereka yang cuba menghalang,” katanya menerusi hantaran di platform sama.
Dalam perkembangan sama, anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Nik Omar Nik Aziz, turut menyatakan sokongan terhadap ketegasan Perdana Menteri yang disifatkannya sebagai tepat pada masanya.
Menurut beliau, ketegasan yang diletakkan pada pertimbangan yang betul mampu melahirkan keharmonian dalam masyarakat majmuk.
“Ketegasan pada tempatnya adalah suatu hikmah dan terpuji. Tahniah Datuk Seri Anwar Ibrahim atas ketegasan ini.
“Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Emosi yang ditimbang dengan betul akan membentuk komuniti yang hidup harmoni,” katanya.
Pada Isnin, Anwar dilaporkan berkata kerajaan memberi kuasa penuh kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk bertindak terhadap rumah ibadat, termasuk kuil, yang dibina di atas tapak tidak sah.
Beliau mengakui keputusan itu berpotensi mencetuskan kontroversi, namun menegaskan bahawa Malaysia adalah negara yang berteraskan undang-undang dan setiap pihak wajib menghormatinya.
Berita berkaitan
February 10, 2026, 9:41 pm
Persidangan CLEA 2026 himpunkan pakar undang-undang antarabangsa di Kuala Lumpur, April ini
February 10, 2026, 9:33 pm
Kes tibi meningkat hampir 10 peratus, 2,571 kes dilaporkan awal 2026
February 10, 2026, 8:58 pm
Anwar puji peranan KSI sebagai pemikir strategik Asia Pasifik
February 10, 2026, 4:27 pm
Kerajaan, Azam Baki digesa jawab segera dakwaan pemilikan saham – Puad Zarkashi
February 10, 2026, 4:20 pm
Dua budak bawah tiga tahun dilaporkan hilang ditemui di 'rooftop' apartmen Saville Kajang
February 10, 2026, 3:49 pm
“Tiada apa hendak disembunyikan” – Azam Baki pertahan pemilikan saham RM800,000
February 10, 2026, 3:36 pm
Selangor tegas ambil tindakan rumah ibadat tidak sah, tetap jaga keharmonian kaum dan agama - Amirudin
February 10, 2026, 3:17 pm
“Pintu tak pernah berkunci” – UMNO sedia terima semula sesiapa sahaja, termasuk dari Bersatu
February 10, 2026, 2:50 pm
Penduduk Taman Dato Harun bantah bina kuil di kawasan majoriti Melayu Islam
February 10, 2026, 2:17 pm
