Berita Berita
Pemandu e-hailing cabul penumpang wanita disahkan penjawat awam, dibebaskan dengan jaminan polis
JOHOR BAHRU 9 Feb – Polis mengesahkan pemandu e-hailing yang didakwa mencabul kehormatan seorang penumpang wanita di sini baru-baru ini merupakan seorang penjawat awam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arshad berkata, suspek berusia 26 tahun itu sebelum ini direman bagi membantu siasatan namun telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan lanjut dijalankan.
Menurut beliau, kes berkenaan masih dalam penelitian pihak perundangan sebelum sebarang keputusan pendakwaan dibuat.
“Suspek adalah seorang penjawat awam dan kertas siasatan perlu dirujuk ke Pejabat D5 (Perundangan), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum dikemukakan ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.
“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis hari ini sementara menunggu keputusan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, media melaporkan seorang pemandu e-hailing ditahan di sekitar bandar raya ini pada 4 Februari lalu selepas disyaki terlibat dalam kes gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanita.
Penahanan dibuat susulan laporan polis oleh mangsa pada hari sama, selepas video kejadian serta latar belakang pekerjaan suspek tular di media sosial, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.
Mangsa dilaporkan merupakan seorang wanita warga Vietnam.
Suspek sebelum ini direman selama tiga hari bermula 5 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan melakukan serangan atau menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seseorang.
Kes berkenaan terus menjadi perhatian awam, khususnya melibatkan aspek keselamatan penumpang serta integriti penjawat awam.
Berita berkaitan
February 10, 2026, 9:41 pm
Persidangan CLEA 2026 himpunkan pakar undang-undang antarabangsa di Kuala Lumpur, April ini
February 10, 2026, 9:33 pm
Kes tibi meningkat hampir 10 peratus, 2,571 kes dilaporkan awal 2026
February 10, 2026, 8:58 pm
Anwar puji peranan KSI sebagai pemikir strategik Asia Pasifik
February 10, 2026, 4:27 pm
Kerajaan, Azam Baki digesa jawab segera dakwaan pemilikan saham – Puad Zarkashi
February 10, 2026, 4:20 pm
Dua budak bawah tiga tahun dilaporkan hilang ditemui di 'rooftop' apartmen Saville Kajang
February 10, 2026, 3:49 pm
“Tiada apa hendak disembunyikan” – Azam Baki pertahan pemilikan saham RM800,000
February 10, 2026, 3:36 pm
Selangor tegas ambil tindakan rumah ibadat tidak sah, tetap jaga keharmonian kaum dan agama - Amirudin
February 10, 2026, 3:17 pm
“Pintu tak pernah berkunci” – UMNO sedia terima semula sesiapa sahaja, termasuk dari Bersatu
February 10, 2026, 2:50 pm
Penduduk Taman Dato Harun bantah bina kuil di kawasan majoriti Melayu Islam
February 10, 2026, 2:17 pm
