Berita Berita
Anwar arah semua negeri patuh garis panduan rumah ibadat, isu politik perlu diketepikan
KUALA LUMPUR 9 Feb – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua kerajaan negeri supaya mematuhi ketetapan Kerajaan Persekutuan berhubung pembinaan rumah ibadat tanpa mengira fahaman politik.
Beliau berkata, perbincangan lanjut akan diadakan bersama semua kerajaan negeri termasuk negeri yang diterajui pembangkang bagi memastikan isu rumah ibadat diurus berdasarkan dasar yang jelas dan standard yang seragam.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, perbezaan politik perlu diketepikan demi kepentingan negara dan keharmonian masyarakat.
“Mengenai soal rumah ibadat, kuil dan sebagainya, saya sudah membuat ketetapan di bawah Kerajaan Persekutuan dan akan berunding dengan semua kerajaan negeri.
“Termasuk kerajaan negeri pembangkang yang kadang-kadang riuh bercakap soal perjuangan mereka, tetapi kuil haram lebih banyak di negeri mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor (DASA) 2026 di sini, malam Isnin.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan isu itu tidak harus dijadikan medan perbalahan politik.
“Tidak mengapalah, kita ketepikan perbezaan politik. Negara ini mesti terus maju dengan dasar yang jelas. Marilah kita laksanakan bersama sebaik mungkin,” katanya.
Perdana Menteri turut mengakui ketetapan berhubung pengurusan rumah ibadat di negara ini dimuktamadkan agak lewat selepas lebih dua tahun perincian dibuat.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya akhirnya ada ketetapan. Semua kaum dan agama mesti menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara hukum.
“Mahu duduk di sini, ikut peraturan. Kalau benar kita tunduk kepada prinsip negara hukum, kenapa perlu ada pengecualian?” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Tambun itu, pembinaan dan pengoperasian rumah ibadat perlu mematuhi undang-undang tanpa dipengaruhi kepentingan politik atau pertimbangan pilihan raya.
“Kalau mahu beribadat, ikut peraturan. Tidak ada pengecualian kerana kepentingan politik,” tegasnya.
Mengulas pelaksanaan ketetapan tersebut, Anwar mengakui ia mungkin mengambil masa namun menegaskan kerajaan tidak boleh terus bertolak ansur tanpa had.
“Tolak ansur ada kebaikannya, tetapi bukan sehingga merobek sendi dan kekuatan negara,” katanya.
Majlis DASA 2026 yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan tokoh sastera, sarjana dan penggiat budaya bagi memperkukuh peranan sastera dan budaya dalam pembentukan identiti bandar raya moden.
Berita berkaitan
February 10, 2026, 9:41 pm
Persidangan CLEA 2026 himpunkan pakar undang-undang antarabangsa di Kuala Lumpur, April ini
February 10, 2026, 9:33 pm
Kes tibi meningkat hampir 10 peratus, 2,571 kes dilaporkan awal 2026
February 10, 2026, 8:58 pm
Anwar puji peranan KSI sebagai pemikir strategik Asia Pasifik
February 10, 2026, 4:27 pm
Kerajaan, Azam Baki digesa jawab segera dakwaan pemilikan saham – Puad Zarkashi
February 10, 2026, 4:20 pm
Dua budak bawah tiga tahun dilaporkan hilang ditemui di 'rooftop' apartmen Saville Kajang
February 10, 2026, 3:49 pm
“Tiada apa hendak disembunyikan” – Azam Baki pertahan pemilikan saham RM800,000
February 10, 2026, 3:36 pm
Selangor tegas ambil tindakan rumah ibadat tidak sah, tetap jaga keharmonian kaum dan agama - Amirudin
February 10, 2026, 3:17 pm
“Pintu tak pernah berkunci” – UMNO sedia terima semula sesiapa sahaja, termasuk dari Bersatu
February 10, 2026, 2:50 pm
Penduduk Taman Dato Harun bantah bina kuil di kawasan majoriti Melayu Islam
February 10, 2026, 2:17 pm
