TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Misteri rangka wanita ditemui dalam parit berhampiran flat di Mentakab

By
|
Kongsi
image

MENTAKAB 10 Feb – Penemuan rangka manusia dipercayai seorang wanita di kawasan parit dan belukar berhampiran Flat Damai Taha, di sini, mencetuskan tanda tanya apabila polis mengesahkan kejadian itu berlaku pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan rangka tersebut kira-kira jam 12 tengah hari, sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis digerakkan ke lokasi.

Menurut beliau, pemeriksaan awal dilakukan bersama Bahagian Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang bagi mengenal pasti keadaan dan lokasi penemuan.

“Hasil siasatan di lokasi mendapati rangka manusia yang ditemui dipercayai wanita, berdasarkan pakaian yang berada bersama rangka tersebut.

“Rangka berkenaan kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Nasyim berkata, proses bedah siasat ke atas rangka itu dijadualkan dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kematian dan tempoh kematian.

Menurut beliau, kes berkenaan kini disiasat di bawah Laporan Kematian Mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh daripada pihak forensik.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Razzi Ismail di talian 017-2314245,” katanya.

+ - reset