Berita Berita
'Najib pun boleh dapat makanan sihat' - PETA gesa Penjara Kajang sedia menu vegan untuk banduan
KUALA LUMPUR 27 Mei – Pertubuhan Hak Asasi Haiwan, People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) menggesa Penjara Kajang melaksanakan dasar hidangan berasaskan tumbuh-tumbuhan atau vegan untuk semua banduan termasuk bekas Perdana Menteri, Najib Razak.
Menurut PETA, pelaksanaan menu berasaskan tumbuhan itu mampu mewujudkan suasana penjara yang lebih tenang selain menjimatkan kos operasi dan memupuk nilai empati serta keamanan dalam kalangan penghuni penjara.
Presiden PETA, Jason Baker berkata, setiap banduan termasuk Najib berhak menerima hidangan yang sihat dan berperikemanusiaan.
“Malah bekas perdana menteri Najib Razak juga berhak menerima hidangan yang berprikemanusiaan dan sihat – begitu juga dengan setiap banduan lain.
“Apabila banduan memakan daging, telur dan produk tenusu, mereka sebenarnya memakan kesakitan, ketakutan dan penderitaan yang dilalui oleh haiwan di ladang serta pusat penyembelihan.
"Satu-satunya hidangan yang membawa keamanan ialah menu vegan, dan Peta menggesa Penjara Kajang untuk melakukan apa sahaja yang termaktub bawah bidang kuasa mereka bagi menyemai nilai tanpa keganasan dalam diri banduan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PETA turut mendakwa amalan pemakanan vegan mampu mengurangkan kos penjagaan kesihatan banduan kerana makanan bebas bahan haiwan tidak mengandungi kolesterol, rendah lemak tepu serta kaya dengan serat dan antioksidan.
Sebagai contoh, organisasi itu memetik sebuah penjara di Amerika Syarikat yang dilaporkan berjaya mengurangkan kos lebih RM1.1 juta selepas menghapuskan menu berasaskan daging daripada hidangan banduan.
Dari aspek kebajikan haiwan pula, PETA mendakwa setiap individu yang mengamalkan gaya hidup vegan berpotensi menyelamatkan hampir 200 haiwan setiap tahun daripada penderitaan dan kematian dalam industri penternakan.
Najib kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap beliau atas tujuh pertuduhan membabitkan wang RM42 juta yang dipindahkan daripada akaun SRC International ke akaun peribadinya.
Beliau pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, namun hukuman itu dikurangkan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada awal 2024 kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Susulan pengurangan hukuman itu, Najib dijangka layak dibebaskan lebih awal seawal Ogos 2026 menerusi parol atau kelakuan baik, namun beliau masih berdepan beberapa lagi kes mahkamah yang sedang berjalan secara berasingan.
Berita berkaitan
May 27, 2026, 9:36 am
Pemangku Sultan Johor beri jaminan sokongan penuh latihan ATM di Johor
May 27, 2026, 9:19 am
Anwar hubungi Presiden Iran, kutuk serangan ketenteraan di Asia Barat
May 26, 2026, 9:10 pm
Aliran trafik di Lebuh Raya PLUS mula perlahan menghala ke utara dan selatan
May 26, 2026, 9:05 pm
Persiapan Aidiladha bertukar cemas, warga emas 77 tahun hilang dalam kebun kelapa sawit
May 26, 2026, 8:55 pm
Muhammad Amir Sahmat letak jawatan, umum keluar PKR
May 26, 2026, 8:47 pm
