TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Persiapan Aidiladha bertukar cemas, warga emas 77 tahun hilang dalam kebun kelapa sawit

By
|
Kongsi
image

PONTIAN 26 Mei – Kegembiraan sebuah keluarga yang sedang sibuk membuat persiapan bagi menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha bertukar menjadi suasana cemas selepas seorang wanita warga emas dilaporkan hilang di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Medan Sari di sini, hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Nathiah Selamat, 77, dilaporkan gagal pulang ke rumah selepas keluar menuju ke kawasan kebun berkenaan bersama seorang warisnya kira-kira jam 11 pagi.

Sebelum disedari hilang, warga emas berkenaan difahamkan sedang dalam perjalanan untuk pulang ke kediamannya yang terletak di Kampung Sri Bunian sebelum disedari telah terpisah daripada ahli keluarga yang menemaninya di kawasan terbabit.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khairul Anwar Ab Ghani memaklumkan bahawa pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden kehilangan itu pada jam 6 petang tadi.

Susulan laporan tersebut, seramai lapan orang anggota bersama sebuah jentera jenis Fire Rescue Tender (FRT) serta Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memulakan tindakan awal.

Sebagai langkah pengesanan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan serta-merta dengan radius pencarian dipecahkan kepada dua sektor utama bagi memperluas dan mempercepatkan liputan pengesanan mangsa.

Sehingga lewat malam ini, mangsa dilaporkan masih belum berjaya ditemui dan usaha pencarian fizikal terus digerakkan secara intensif yang menumpukan kepada kawasan sekitar perimeter kebun serta laluan asal yang dipercayai dilalui oleh warga emas berkenaan.

+ - reset