Berita Berita
Malaysia tidak agresif dalam isu Laut Sulawesi – Anwar

JAKARTA 29 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah mengambil pendekatan agresif dalam menangani isu sempadan dengan Indonesia, termasuk tuntutan bertindih di Laut Sulawesi.
Menurut beliau, pendekatan yang diambil adalah berasaskan undang-undang dan rundingan antara kedua-dua negara.
“Kita tidak mengambil sikap agresif, jangan menceroboh kawasan masing-masing. Segala perbincangan dibuat secara tertib dan berdasarkan undang-undang,” katanya ketika bertemu Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) serta pemimpin redaksi media Indonesia di Jakarta, Selasa.
Turut menyertai delegasi ialah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi memudahkan perbincangan bersama pihak Indonesia.
Pertemuan tersebut turut dihadiri Presiden ISWAMI Malaysia, Ashwad Ismail; Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan; Timbalan Presiden ISWAMI Malaysia, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan wakil Forum Pemred, Taufiq Rahman.
Anwar tiba di Jakarta pada Isnin bersama beberapa menteri kabinet termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Isu Laut Sulawesi telah berlarutan sejak Malaysia menerbitkan peta pada 1979, melibatkan kawasan di antara Kalimantan Timur dan tenggara Sabah. Ketegangan memuncak pada 2005, mendorong penubuhan ISWAMI untuk memperkukuh komunikasi dua hala.
Kementerian Luar dalam jawapan bertulis di Parlimen pada 22 Julai lalu menegaskan bahawa Blok ND6 dan ND7 yang dituntut Indonesia adalah sebahagian daripada wilayah kedaulatan Malaysia, berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002. – Media Telus
Berita berkaitan
July 30, 2025, 10:06 am
Naikkan cukai vape sementara tunggu pengharaman penuh, KKM jangan terus diam diri – Wan Saiful
July 30, 2025, 8:05 am
Rafizi antara tujuh pemimpin dilihat berpotensi jadi PM ke-11
July 30, 2025, 7:44 am
KPM serah sepenuhnya siasatan kes guru ditumbuk kepada polis
July 30, 2025, 7:11 am
Kes buli pelajar sekolah menengah diselesaikan di peringkat sekolah
July 30, 2025, 6:57 am
Guru besar maut kemalangan, kereta terbakar 80 peratus
July 29, 2025, 6:54 pm