TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Empat termasuk wanita ditahan kes serang 'influencer' Prince Syed

By
|
Kongsi
image

 

KLANG 3 Nov – Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung insiden serangan dan pemukulan terhadap pempengaruh serta usahawan media sosial, Prince Syed.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamal Ariffin Aman Shah, berkata kesemua suspek berusia antara 22 hingga 59 tahun ditahan semalam selepas polis menerima laporan daripada pengadu berusia 33 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 2.40 petang di kawasan perumahan Taman Bertih Laut, Teluk Pulai, di sini.

“Siasatan awal mendapati telah berlaku perselisihan faham dan pergaduhan di antara keluarga isteri dan pengadu.

“Susulan itu, tiga lelaki dan seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan merosakkan harta benda.

“Pegawai penyiasat kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222,” katanya.

Sebelum ini, Prince Syed atau nama sebenarnya Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman dilapor membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya diserang dan dipukul hingga cedera di tangan serta wajah.

Mangsa mendakwa suspek memukul kepalanya menggunakan topi keledar, menumbuk muka serta mencakar tangan hingga berdarah, selain memecahkan cermin kereta Proton X70 miliknya dan bertindak melakukan provokasi.

Tular di media sosial, video seorang wanita mendakwa ibu mentua Prince Syed datang ke rumah sambil menuduh menantunya itu melarikan anak dan menghalang cucu daripada berjumpa dengannya.

Wanita sama turut mendakwa Prince Syed berkahwin dengan Fatin Syazwani bagi menjadikan isterinya “tikus makmal” dengan memaksa menjalani pembedahan bariatrik untuk tujuan promosi produk pelangsingan badan.

+ - reset