Berita Politik
Bersatu tak tahu Pas senyap-senyap berunding dengan Anwar, Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR 19 Sept - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa sejarah telah membuktikan Pas beberapa kali beralih arah demi kelangsungan politiknya, sehingga dianggap ‘menikam belakang’ rakan dalam gagasan yang pernah disertai.
Beliau berkata, fakta menunjukkan Pas pernah bersama hampir semua parti utama dalam negara dan lebih mengutamakan soal politik berbanding dasar serta polisi negara yang menjadi fokus UMNO.
“Kalau tengok Pas, dia fokus kepada politik. Dan kita macam UMNO, kita fikir polisi Kerajaan, negara, bila kalah (pada PRU 2018) baru tahu banyak benda tak buat, untuk kita wariskan perjuangan ini.
“Sebab itu kalau tanya saya tadi macam mana dengan politik di Kelantan. Nik Nazmi pernah bersama Pas, Keadilan pernah bersama dengan Pas, UMNO pernah bersama dengan Pas. Ini sejarahnya. Pas mana pernah kekal dengan rakan-rakan,” katanya.
Menurut beliau, Pas juga pernah menghantar wakil untuk berunding dengan pimpinan kerajaan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tanpa pengetahuan rakan utama dalam Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dalam diam-diam kita pun tahu. Anwar Ibrahim berapa kali beritahu kita, Pas menghantar wakil berjumpa dengan Datuk Seri Anwar, Pas berjumpa dengan Zahid Hamidi tanpa diketahui oleh pimpinan Bersatu. Sebab saya tahu siapa yang jumpa, orang yang sama bawa kepada kami dulu,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam podcast Lebih Masa kelolaan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad bersama pengacara Nani Roslan, semalam.
Langkah Sheraton dan episod selepasnya
Mengulas peristiwa Langkah Sheraton pada 2020, Asyraf menjelaskan Pas dan UMNO ketika itu dalam mesyuarat Muafakat Nasional sebenarnya bersetuju hanya menubuhkan kerajaan sementara bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tempoh enam bulan.
Katanya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada waktu itu mencadangkan penyertaan dalam kerajaan sementara lebih baik berbanding desakan UMNO untuk segera membubarkan Parlimen.
“Bila kita bersama dengan Kerajaan lepas Sheraton move dulu kita memang ada mesyuarat dengan Pas. Peringkat awal keputusan kita, kita tak mahu tubuhkan Kerajaan, kita nak pilihan raya.
“Sebab waktu itu (Datuk Seri) Najib kuat, tegas, dia kata no government will survive if it comes from backdoor. So, itu prinsip dia.
“… dalam mesyuarat penting di Tingkat 39 (Menara Dato Onn) akhirnya, saya ingat Hadi bangun dan beritahu – ‘macam ni lah … UMNO tak pernah berhadapan dengan pilihan raya sebagai pembangkang. Kami dah pernah. Lebih baik kita masuk sekejap dalam Kerajaan, dan kita bubar, daripada kita jadi pembangkang’. Dan Itu mengubah pandangan semua kecuali Najib,” katanya.
Namun katanya, hasrat membentuk kerajaan sementara hanya enam bulan tidak menjadi kenyataan, apabila Muhyiddin mencadangkan penubuhan Perikatan Nasional secara rasmi yang akhirnya disertai Pas, meskipun sebelum itu menafikan terlibat.
“Kita tanya Pas dalam mesyuarat Muafakat Nasional, macam mana Pas kita dengar you ada? Saya ingat lagi (Setiausaha Agung Pas) Datuk Seri Takiyuddin depan saya. Dan dia jawab … sudah-sudahlah Ketua Pemuda (Asyraf Wajdi), kan mesyuarat yang lepas kita dah buat penjelasan … bahawa kita tak akan sesekali libatkan diri dengan parti Perikatan Nasional.
“Apa yang berlaku, Pilihan Raya Negeri Sabah, bubar saja, buat pengisytiharan Pas menyertai Perikatan Nasional. Sebab apa? Sebab perdana menterinya adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dia boleh tikam belakang kita. Dia ada dalil-dalil dia. Tapi pokoknya UMNO tak pernah mengkhianati sesiapa. Sebab tu saya sebut, Sejarah UMNO bila berkawan kita tak pernah mengkhianati kawan-kawan. Yang tinggalkan orang lain bukan kita,” katanya.
Asyraf turut menegaskan, dalam keadaan sekarang pun Presiden UMNO mendedahkan ada lagi pemimpin Pas yang cuba berunding, tetapi ditolak kerana UMNO memilih untuk mendahulukan kestabilan negara dan rakyat.
Berita berkaitan
September 23, 2025, 9:07 am
Hajiji janji lantik wakil rakyat Cina jadi Timbalan Ketua Menteri jika GRS kekal terajui Sabah
September 22, 2025, 10:28 am
Masalah 'rumah tangga' MCA-UMNO, kenapa salahkan DAP pula?' - Loke
September 19, 2025, 8:37 am
Sanusi balas Puad: Jangan berlagak suci isu dana pilihan raya
September 18, 2025, 10:49 am
'Pas, Bersatu gaduh pasal duit pula' - Puad persoal sama ada Pas pernah tanya Bersatu dapat duit dari sumber mana
September 18, 2025, 8:51 am
UMNO Bahagian Batu putuskan kerjasama dengan Pakatan Harapan di Wilayah Persekutuan
September 16, 2025, 3:49 pm
Rakyat semakin berminat nak tahu calon Perdana Menteri PAS - Tuan Ibrahim
September 15, 2025, 9:18 pm
'Kalau nak keluar, saya terus cakap dengan Presiden' - MIC nafi jumpa Najib untuk tinggalkan BN
September 15, 2025, 2:13 pm