Berita Politik
Masalah 'rumah tangga' MCA-UMNO, kenapa salahkan DAP pula?' - Loke
SEREMBAN 22 Sept - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menolak dakwaan yang mengaitkan partinya sebagai punca keretakan hubungan antara MCA dengan UMNO dalam Barisan Nasional (BN).
"Mengapa kita (DAP) yang menjadi punca pula? Masalah 'rumah tangga' kamu hendak salahkan orang lain.
"Kita hanya menjalankan kerja dengan baik... memfokus kepada peranan kita dalam kerajaan. Masalah orang lain, saya tak nak masuk campur. Itu masalah antara mereka... kalau dia ada masalah, jangan salahkan orang lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Kali Ke-23, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Menteri Pengangkutan itu menyifatkan dakwaan berkenaan seolah-olah mahu menjadikan DAP sebagai 'kambing hitam.'
"Kebiasaannya, orang yang lemah akan mencari masalah kepada orang lain, mereka tidak cermin diri sendiri. Jangan salahkan orang lain kerana ia tidak akan membantu memperkuatkan diri (parti) anda," katanya.
Pada Ogos lalu, bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dilaporkan berkata parti itu perlu membuat keputusan sama ada kekal atau keluar BN, susulan hubungan semakin rapat antara UMNO dengan DAP.
Lian Ker dipetik berkata, keakraban UMNO dan DAP dalam pelbagai acara politik memberi tamparan hebat kepada MCA, sekali gus mencetuskan kekecewaan akar umbi parti itu yang sudah lama menjadi sekutu utama UMNO dalam BN.
Dalam pada itu, Loke menegaskan DAP bersedia mengekalkan prinsip dan formula pembahagian kerusi bersama rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan menjelang pilihan raya akan datang.
"Dalam hal ini, mana-mana kerusi yang telah dimenangi parti itu pada pilihan raya lalu, perlu dikekalkan pada pilihan raya akan datang. Jika BN yang menang, kita tidak lawan (letak calon bertanding) dan begitu juga sebaliknya.
"Ini kerangka dan prinsip dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya hendak diteruskan hingga pilihan raya akan datang. Namun, sama ada mereka (BN) hendak meneruskan kerjasama atau tidak, itu terpulang," jelasnya.
Beliau menambah, sekiranya kerusi dimenangi pihak lawan, rundingan antara parti dalam kerajaan tetap akan dilakukan.
"Kita (DAP) bersedia untuk meneruskan kerjasama ini pada masa depan tetapi dari segi pembahagian kerusi, prinsip itu mesti dipatuhi.
"Jika kerusi itu yang dimenangi pihak lawan pula, kita akan berunding sesama kita," katanya sambil menegaskan DAP akan terus memberi sokongan dalam menjayakan aspirasi Kerajaan Perpaduan.
Berita berkaitan
February 13, 2026, 8:35 pm
Saifuddin persoal motif pemecatan Hamzah dalam Bersatu
February 9, 2026, 11:32 am
“Nak pecat, pecat betul-betul” – Wan Fayhsal cabar Bersatu berhenti berdrama isu Hamzah
February 4, 2026, 2:18 pm
PAS nafi solo PRU16, beri isyarat mahu kukuhkan Perikatan Nasional
February 1, 2026, 11:48 am
DAP tidak ghairah tambah ahli semata-mata tingkatkan angka keahlian
January 27, 2026, 9:28 pm
UMNO belum terima permohonan rasmi penyertaan semula bekas pemimpin
January 27, 2026, 9:09 am
Mohamed Nazri tidak tolak kemungkinan bertanding pada PRU16
January 26, 2026, 4:47 pm
Muhyiddin tidak dijemput hadir mesyuarat PN kerana letak jawatan berkuat kuasa 1 Januari
January 23, 2026, 1:43 pm
Abdul Hadi nafi Muhyiddin kekal sebagai pengerusi PN
January 15, 2026, 10:31 am
