TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

BERSATU pecat Wan Saiful berhubung isu SD

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 14 Okt – Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini mengumumkan pemecatan keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, serta penggantungan hak keahlian selama satu penggal terhadap Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, susulan isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan desakan agar presiden parti berundur.

Menurut kenyataan rasmi lembaga berkenaan, tindakan disiplin itu diambil selepas siasatan dan pendengaran dijalankan terhadap aduan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli Parti.

“Lembaga Disiplin sudah membuat keputusan berdasarkan siasatan dan pertimbangan yang sewajarnya tanpa sebarang campur tangan pihak lain. Keputusan dibuat secara bebas dan tidak berat sebelah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Empat lagi pemimpin akar umbi turut dipecat, masing-masing Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).

Lembaga Disiplin menjelaskan bahawa mereka yang dikenakan tindakan berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis penggantungan atau pemecatan.

Siasatan terhadap kumpulan terbabit dijalankan selepas aduan bertulis diterima daripada ahli parti, disusuli satu sesi pendengaran pada 8 Oktober lalu, sebelum keputusan muktamad dibuat mengikut Fasal 22.5 Perlembagaan BERSATU.

“Lembaga Disiplin sentiasa bertindak secara telus, adil dan berlandaskan perlembagaan parti. Semua ahli BERSATU diingatkan agar mematuhi peraturan dan etika demi menjaga nama baik parti,” katanya lagi.

Walaupun digantung dan dipecat daripada parti, kedudukan Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal sebagai Ahli Parlimen tidak terjejas, kerana pemecatan keahlian parti tidak tertakluk di bawah undang-undang anti-lompat parti dalam Perlembagaan Persekutuan.

Difahamkan, Wan Saiful bersama beberapa pemimpin lain akan mengeluarkan kenyataan bersama tengah hari ini bagi mengulas tindakan yang diambil terhadap mereka.

Mereka sebelum ini dilaporkan terbabit dalam usaha mengumpul SD daripada ketua bahagian BERSATU seluruh negara untuk mencadangkan transisi kepimpinan parti kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Sebelum ini, pada 25 September, Lembaga Disiplin BERSATU menangguhkan prosiding melibatkan isu sama kerana tidak cukup korum selepas seorang ahli panel tidak hadir.


 

 

+ - reset