Berita Politik
PAS belum umum calon PM kerana sedar belum cukup sokongan – Tun M
PETALING JAYA 2 Nov - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa PAS memilih untuk tidak menamakan calon perdana menteri kerana menyedari parti itu belum mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Beliau berkata, PAS sedar mereka tidak mampu memenangi jumlah kerusi yang mencukupi bagi menguasai Putrajaya tanpa bantuan parti lain, terutama di luar kawasan tradisi mereka di Pantai Timur.
Bercakap kepada Free Malaysia Today (FMT), Dr Mahathir menjelaskan tindakan PAS untuk tidak menamakan calon perdana menteri terlalu awal adalah langkah berhati-hati bagi mengelak kehilangan sokongan lebih luas daripada pengundi di negeri lain.
“PAS tahu mereka tidak boleh jadi perdana menteri hanya dengan kekuatan sendiri. Mereka perlukan sokongan parti lain di seluruh negara.
“Jumlah kerusi yang mereka ada tidak cukup untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Jadi mereka perlu bergabung dengan parti lain. Sebab itulah mereka tidak menamakan calon perdana menteri.
“Mereka boleh terima jika ada beberapa nama dipertimbangkan dan terbuka memilih mana-mana yang paling sesuai. Tapi mereka lebih berhati-hati untuk umumkan awal kerana bimbang itu akan menyukarkan mereka mendapat sokongan sepenuhnya,” katanya.
Ketika ini, PAS memiliki 43 kerusi di Dewan Rakyat, menjadikannya parti dengan jumlah kerusi terbanyak berbanding DAP, PKR dan rakan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN), BERSATU.
Sebelum ini, BERSATU menamakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri sekiranya gabungan itu berjaya menawan semula Putrajaya.
Namun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan parti itu belum memutuskan calon untuk jawatan terbabit dan perkara itu juga belum dibincangkan di peringkat PAS mahupun PN.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini berkata, parti itu mahu menumpukan perhatian kepada kemenangan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) terlebih dahulu sebelum memikirkan soal calon perdana menteri.
Menurutnya, PAS mempunyai ramai tokoh berkelayakan untuk memegang jawatan tertinggi itu, namun tidak mahu menonjolkan diri kerana menganggap tanggungjawab tersebut amat berat.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut mengingatkan BERSATU bahawa keputusan mengenai calon perdana menteri perlu dibuat secara konsensus membabitkan semua parti dalam gabungan berkenaan.
Berita berkaitan
May 1, 2026, 2:02 pm
PN gesa kerajaan batal potongan peruntukan KKM dan KPT
April 28, 2026, 8:34 pm
KJ gesa undi tidak percaya, sifatkan tindakan UMNO Negeri Sembilan langkah tepat
April 28, 2026, 7:25 pm
Tiga tokoh PAS Selangor dicalonkan terajui PN negeri
April 28, 2026, 9:00 am
'Bergantung kepada Tuanku' - Anwar jangka PRN Negeri Sembilan tidak diadakan
April 27, 2026, 5:49 pm
Aminuddin kekal MB Negeri Sembilan, diarah bertugas seperti biasa
April 27, 2026, 9:42 am
'UMNO lain cerita' - Bersatu kekal tolak kemasukan semua ahli dipecat
April 24, 2026, 11:48 am
PAS Perlis kekal sokong kerajaan PN, nafi usul undi tidak percaya
April 21, 2026, 11:05 am
Shahidan nafi ada gerakan jatuhkan MB Perlis, sokongan PN kekal utuh
April 21, 2026, 10:56 am
UMNO terima 3,716 pendaftaran ahli baharu dalam tempoh 24 jam
April 20, 2026, 10:20 am
