Berita Politik
PRN Sabah: Rahman Dahlan tarik diri bertanding di DUN Tempasuk
KOTA KINABALU 12 Nov - Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menarik diri daripada bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk bagi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Perkara itu disahkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memaklumkan Abdul Rahman sudah menyatakan hasratnya untuk menarik diri selepas tiga hari diumumkan sebagai calon BN bagi kerusi berkenaan.
“Benar, Datuk Seri Abdul Rahman menarik diri dan tiada sebab yang jelas, beliau hanya menyatakan tidak berhasrat untuk bertanding lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada Ahad lalu, Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Tuaran serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO diumumkan antara 41 calon BN bagi PRN17. Bung Moktar hari ini turut mengumumkan tambahan empat lagi kerusi ditandingi BN menjelang hari penamaan calon Sabtu ini.
Katanya, kedudukan Abdul Rahman di Tempasuk akan digantikan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan Norjan.
Sebelum ini, Bung Moktar menjelaskan pemilihan Abdul Rahman dibuat berdasarkan pengalaman beliau yang pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Belud selama dua penggal dari 2008 hingga 2018.
Abdul Rahman kemudian berpindah ke Parlimen Sepanggar pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 namun tewas kepada calon Parti Warisan Sabah (Warisan), sebelum kembali bertanding di Kota Belud pada PRU15, tetapi sekali lagi kalah kepada calon Warisan.
Sementara itu, Abdul Rahman dalam kenyataannya di Facebook mengesahkan beliau sudah memaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai keputusannya menarik diri.
“Saya ingin memberi laluan kepada muka baharu dan anak tempatan Kota Belud untuk mewakili UMNO di DUN Tempasuk. Saya telah bertanding tiga kali di Parlimen Kota Belud — dua kali menang dan sekali kalah. Dalam semua pertandingan itu, UMNO tetap memenangi undi di DUN Tempasuk walaupun kalah di peringkat Parlimen.
“Saya percaya anak tempatan UMNO Kota Belud mampu menggalas tanggungjawab ini dengan baik. Sebagai ahli parti, saya akan terus membantu melalui kapasiti lain,” katanya.
Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan kepada UMNO dan Ahmad Zahid atas kepercayaan yang diberikan, serta kepada ahli dan penyokong di DUN Tempasuk atas sokongan mereka selama ini.
Berita berkaitan
May 1, 2026, 2:02 pm
PN gesa kerajaan batal potongan peruntukan KKM dan KPT
April 28, 2026, 8:34 pm
KJ gesa undi tidak percaya, sifatkan tindakan UMNO Negeri Sembilan langkah tepat
April 28, 2026, 7:25 pm
Tiga tokoh PAS Selangor dicalonkan terajui PN negeri
April 28, 2026, 9:00 am
'Bergantung kepada Tuanku' - Anwar jangka PRN Negeri Sembilan tidak diadakan
April 27, 2026, 5:49 pm
Aminuddin kekal MB Negeri Sembilan, diarah bertugas seperti biasa
April 27, 2026, 9:42 am
'UMNO lain cerita' - Bersatu kekal tolak kemasukan semua ahli dipecat
April 24, 2026, 11:48 am
PAS Perlis kekal sokong kerajaan PN, nafi usul undi tidak percaya
April 21, 2026, 11:05 am
Shahidan nafi ada gerakan jatuhkan MB Perlis, sokongan PN kekal utuh
April 21, 2026, 10:56 am
UMNO terima 3,716 pendaftaran ahli baharu dalam tempoh 24 jam
April 20, 2026, 10:20 am
