Berita Politik
'Kesetiaan bukan lesen untuk pinggirkan kami' - Vigneswaran minta BN hormat peranan MIC, beri isyarat terbuka untuk kerjasama politik baharu
Oleh MOHSIN DADAMEAH
KUALA LUMPUR 16 Nov – Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran memberi isyarat jelas bahawa parti itu bersedia mempertimbangkan penjajaran politik baharu sekiranya terus dipinggirkan dalam Barisan Nasional (BN), sambil menegaskan bahawa MIC “bukan tetamu” dalam gabungan yang dibina bersama sejak lebih enam dekad lalu.
Berucap pada Perhimpunan Perwakilan MIC Kebangsaan ke-79 hari ini, beliau menegaskan bahawa kesetiaan parti itu selama ini tidak boleh lagi dianggap sebagai kelemahan.
“Terlampau lama kita memikul beban kesetiaan sehingga ia disalah anggap sebagai kelemahan. Kesabaran bukan lagi satu kebaikan apabila ia membawa kepada pengabaian,” katanya.
Menurut Vigneswaran, MIC tidak mahu lagi menjadi rakan gabungan yang hanya diminta patuh tanpa diberi penghormatan setara dalam proses membuat keputusan.
Presiden MIC itu turut mengkritik tindakan UMNO yang membuat keputusan penting secara unilateral selepas PRU15, termasuk memilih bekerjasama dengan Pakatan Harapan tanpa rundingan bersama parti komponen lain.
“Keputusan itu dibuat demi kelangsungan UMNO, bukan masa depan kolektif BN. MIC diketepikan bukan kerana kita lemah, tetapi kerana mereka yang sepatutnya bersuara untuk kita memilih untuk diam,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa MIC tidak pernah berpaling daripada BN, termasuk ketika gabungan itu tumbang pada 2018.
Vigneswaran turut mempertikaikan sikap “double standard” apabila usaha MIC mempertimbangkan perbincangan dengan parti lain dipersoalkan, sedangkan UMNO dan parti besar lain bebas bergerak mengikut keperluan politik masing-masing.
“Mengapa MIC disoal apabila kita mahu meneroka kerjasama baharu, sedangkan parti lain dipuji sebagai strategik? MIC bukan rakan junior yang boleh diarahkan,” tegasnya.
Beliau menekankan bahawa parti itu hanya akan berada dalam gabungan yang benar-benar menghormati suara dan sumbangan MIC.
Dalam ucapannya, Vigneswaran turut menekankan keperluan pembaharuan dalaman, termasuk memperkasakan golongan belia dan wanita sebagai tunjang kebangkitan semula parti.
MIC, katanya, perlu agresif menggunakan platform digital dan memastikan wanita India, tanpa mengira parti, mendapat pembelaan melalui advokasi, bantuan undang-undang, ekonomi dan keselamatan.
Beliau turut mengesahkan penglibatan MIC dalam himpunan “March for Justice” bersama Indira Gandhi sebagai simbol komitmen parti itu terhadap isu wanita dan kanak-kanak.
Mengakhiri ucapan, Presiden MIC menegaskan bahawa parti itu kini berada di persimpangan besar, dan masa depan MIC dalam BN akan diputuskan oleh perwakilan atau diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat untuk menentukan hala tuju terbaik.
“Ini bukan saat MIC berpisah. Ini saat MIC bangkit. Kita tidak melarikan diri daripada sejarah. Kita kembali mempertahankannya,” katanya.
Perhimpunan hari ini dianggap antara mesyuarat paling penting dalam sejarah MIC, dengan kemungkinan membuka jalan kepada penjajaran politik baharu menjelang pilihan raya akan datang. - Media Telus
Berita berkaitan
February 13, 2026, 8:35 pm
Saifuddin persoal motif pemecatan Hamzah dalam Bersatu
February 9, 2026, 11:32 am
“Nak pecat, pecat betul-betul” – Wan Fayhsal cabar Bersatu berhenti berdrama isu Hamzah
February 4, 2026, 2:18 pm
PAS nafi solo PRU16, beri isyarat mahu kukuhkan Perikatan Nasional
February 1, 2026, 11:48 am
DAP tidak ghairah tambah ahli semata-mata tingkatkan angka keahlian
January 27, 2026, 9:28 pm
UMNO belum terima permohonan rasmi penyertaan semula bekas pemimpin
January 27, 2026, 9:09 am
Mohamed Nazri tidak tolak kemungkinan bertanding pada PRU16
January 26, 2026, 4:47 pm
Muhyiddin tidak dijemput hadir mesyuarat PN kerana letak jawatan berkuat kuasa 1 Januari
January 23, 2026, 1:43 pm
Abdul Hadi nafi Muhyiddin kekal sebagai pengerusi PN
January 15, 2026, 10:31 am
