TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Ada usaha singkir MB Perlis ketika dirawat di hospital, PH siap sedia pilihan raya negeri

By
|
Kongsi
image

 

PERLIS 23 Dis – Landskap politik negeri Perlis kembali bergolak apabila timbul dakwaan wujud gerakan untuk menyingkirkan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, ketika beliau kini sedang menerima rawatan di hospital.

Menurut laporan Malaysiakini, keadaan itu tercetus susulan laporan bahawa Shukri dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit dada sebaik pulang daripada lawatan ke China.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa laporan media semalam memetik sumber yang mendakwa seramai lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdiri daripada lima wakil Bersatu dan tiga daripada PAS telah menyerahkan Akuan Bersumpah kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar itu.

Lapan ADUN berkenaan membentuk majoriti mudah dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang mempunyai keseluruhan 15 ADUN.

Berita Harian turut melaporkan, Bersatu difahamkan telah mengemukakan tiga nama kepada Raja Perlis untuk dipertimbangkan sebagai calon Menteri Besar baharu.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perlis, Noor Amin Ahmad, berkata gabungan itu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran DUN dan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.

“Dengan pengalaman mentadbir, kerjasama kukuh bersama parti-parti kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan dan negeri, serta komitmen terhadap tadbir urus yang telus, stabil, dan berfokuskan rakyat, PH Perlis bersedia menawarkan kepimpinan baru untuk negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan lewat malam tadi.

Ketika ini, PH hanya memiliki satu kerusi DUN di Perlis dan tidak mempunyai sebarang Ahli Parlimen, manakala Barisan Nasional (BN) pula tidak memegang sebarang kerusi di negeri itu.

Untuk rekod, Shukri yang merupakan pemimpin PAS sebelum ini berdepan beberapa cabaran politik. Pada Oktober 2023, dilaporkan berlaku perpecahan dalaman melibatkan PAS Perlis.

Sebulan kemudian, Pengerusi Bersatu Perlis, Datuk Abu Bakar Hamzah, mencetuskan kontroversi apabila namanya tidak disenaraikan dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), sebelum isu berkenaan hanya diselesaikan setahun kemudian.

Pada Ogos 2024, Shukri sekali lagi berdepan tekanan untuk meletakkan jawatan atas sebab yang tidak dinyatakan.

Dalam pemilihan PAS tahun ini pula, beliau gagal mempertahankan jawatannya sebagai Yang Dipertua PAS kawasan Arau selain tidak berjaya memperoleh tempat dalam kepimpinan PAS pusat.

Jawatan Shukri sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis juga telah digantikan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim pada Oktober lalu.

+ - reset