TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anthony Loke ziarah keluarga mangsa rempuh pemandu mabuk di Klang

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 1 April – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menzahirkan keprihatinan dengan menziarahi keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang maut dalam kemalangan melibatkan pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah, Ahad lalu.

Dalam kunjungan tersebut, beliau turut menyerahkan sumbangan kewangan secara peribadi kepada isteri mangsa, Nor Nadia Abdul Majid, 32, bagi membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan.

Namun, menurutnya, kehilangan insan tersayang tidak mampu diganti dengan wang ringgit, apatah lagi buat seorang isteri yang kini perlu meneruskan kehidupan tanpa suami di sisi.

“Saya amat memahami kesedihan yang dirasai, dan menzahirkan rasa simpati yang mendalam serta solidariti kami bersama keluarga arwah dalam menghadapi saat yang sukar ini.

“Semoga keluarga arwah diberi kekuatan dan ketabahan untuk melalui dugaan ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi Ahad lalu, mangsa maut di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan di Jalan Raya Barat menuju ke bandar Klang.

Akibat pelanggaran itu, Amirul Hafiz melambung sebelum tercampak ke atas sebuah kenderaan lain dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, arwah bekerja di sebuah gudang pada waktu siang dan sebagai penghantar makanan pada waktu malam bagi menyara keluarga.

Sementara itu, seorang pembantu makmal, R. Saktygaanapathy, 28, telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan membunuh mangsa dalam kejadian berkenaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian dibacakan di hadapan Majistret A. Karthiyayini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

+ - reset