Berita Dunia
Peraturan bekerja 6 hari seminggu mula dikuat kuasa

ATHENS 3 Julai – Demi meningkatkan produktiviti, Greece menguatkuasakan peraturan bekerja selama enam hari seminggu.
Ini secara tidak langsung menjadikan Greece sebagai negara Kesatuan Eropah (EU) pertama yang menguatkuasakan peraturan berkenaan, lapor agensi berita United Press International.
Dasar itu bagaimanapun mendapat kritikan hebat daripada kesatuan-kesatuan sekerja.
Berdasarkan undang-undang yang mula berkuat kuasa kelmarin, perniagaan swasta yang menawarkan perkhidmatan 24 jam boleh memberikan dua pilihan kepada pekerja.
Pekerja dibenarkan sama ada untuk menambah tempoh bekerja selama dua jam setiap hari atau bekerja syif lapan jam tambahan (hari keenam) dengan kenaikan 40 peratus dalam gaji harian mereka.
Namun, inisiatif itu tidak termasuk pekerja dalam industri perkhidmatan makanan dan pelancongan.
Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis menganggap peraturan kerja baharu itu sebagai ‘mesra pekerja’ dan bertujuan untuk memastikan kakitangan diberikan bayaran setimpal untuk kerja lebih masa.
Bagaimanapun, seorang ahli jawatankuasa eksekutif Kesatuan Kakitangan Awam Greece, Akis Sotiropoulos berkata, keputusan kerajaan untuk melaksanakan waktu bekerja selama enam hari seminggu adalah bertentangan dengan setiap negara Eropah yang lain.
“Ia tidak masuk akal sama sekali. Apabila hampir setiap negara bertamadun menggubal waktu bekerja kepada empat hari seminggu, Greece memutuskan untuk bergerak ke arah bertentangan,” kata Sotiropoulos.
Pekerja negara itu secara purata bekerja selama 41 jam seminggu yang merupakan paling lama di Eropah, demikian menurut statistik yang disusun oleh agensi EU, Eurostat. – AGENSI
Berita berkaitan
May 2, 2025, 11:07 am
Dilanda ribut pasir selepas kebakaran hutan, Israel isytihar darurat
April 29, 2025, 11:33 am
Gangguan bekalan elektrik besar landa Eropah Barat, Sepanyol, Portugal, darurat diisytihar
April 24, 2025, 12:50 pm
Gempa bumi 6.2 skala Ritcher gegar Istanbul, 236 cedera akibat panik
April 18, 2025, 11:51 am
Empat maut, kereta kabel terjatuh ke gaung
April 16, 2025, 1:01 pm
Sudan bergolak semula, RSF isytihar kerajaan baharu ketika krisis kemanusiaan memuncak
April 16, 2025, 11:26 am
PM Kemboja sampaikan takziah, kenang sumbangan Tun Abdullah
April 16, 2025, 11:20 am
Raja Salman, Putera Mahkota Arab Saudi ucap takziah atas pemergian Pak Lah
April 15, 2025, 6:03 pm
Parlimen Singapura dibubar, pilihan raya umum Ke-14 pada 3 Mei
April 10, 2025, 7:56 am
Trump tangguh tarif timbal balik ke atas lebih 75 negara selama 90 hari
April 8, 2025, 12:29 pm