Berita Berita
PRN Johor: Calon BN 'kitar semula & mediocre', Dr Puad bidas Dr Akmal isu singkir generasi keempat
KUALA LUMPUR 28 Jun – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi terus melancarkan serangan balas terhadap kepimpinan parti itu dengan menyifatkan senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 sebagai kitar semula, mediocre (biasa-biasa), dan antiaspirasi anak muda.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu mendakwa pemilihan tersebut sebagai cacamarba, tidak mempunyai daya tarikan, serta langsung tidak menggambarkan sebarang usaha pembaharuan struktur dalam parti.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya malam tadi, beliau membidas kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sebelum ini, dengan mendedahkan amalan kronisme dalam penentuan calon.
Beliau mempersoalkan mengapa ada individu yang baru sebulan kembali masuk UMNO sudah boleh menjadi calon dengan mudah, manakala calon yang dipilih pula didakwa hanya dalam kalangan kroni dan rakan bermain golf.
Menurut Dr. Puad, UMNO yang kini berusia 80 tahun sepatutnya dipimpin oleh generasi keempat seperti Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, namun generasi tersebut terpinggir apabila UMNO Johor mengekalkan calon kitar semula daripada generasi ketiga. Perkara inilah yang disifatkannya gagal difahami oleh Dr. Akmal.
Bagi mengukuhkan dakwaannya, Dr. Puad memetik beberapa nama pemimpin veteran berusia lebih 60 tahun yang dicalonkan semula, termasuk Datuk Abdul Halim Suleiman bagi DUN Tiram yang berusia 64 tahun dan pernah tewas pada PRN 2018, serta Datuk Seri Dr. Adham Baba (64 tahun) di DUN Pasir Raja yang sebelum ini digugurkan pada PRU-15.
Beliau turut membangkitkan nama Datuk Samsolbari Jamali (65 tahun) di DUN Semarang, serta Alwiyah Talib (65 tahun) di DUN Endau yang merupakan bekas ADUN Bersatu selama dua penggal dan baru empat bulan menyertai semula UMNO.
Selain itu, Dr. Puad mengkritik pengguguran muka baharu berpendidikan tinggi apabila mendakwa calon yang mempunyai kelulusan PhD seperti Datuk Fuad Tukirin diganti dengan calon berkelulusan SPM di Bukit Naning. Beliau menambah, kegagalan menarik minat orang muda turut disuarakan oleh sayap Puteri UMNO yang marah kerana hanya seorang sahaja wakil mereka yang dipilih menjadi calon, sekali gus meningkatkan risiko pengundi muda akan terus menolak UMNO.
Terdahulu pada 25 Jun lalu, Dr. Puad mengejutkan arena politik tanah air apabila mengumumkan keluar daripada UMNO serta-merta atas dakwaan badan perhubungan negeri itu kehilangan autonomi dan dikawal oleh pihak istana dalam penentuan calon.
Bagaimanapun, tindakan drastik bekas Speaker DUN Johor itu mengundang kecaman hebat daripada barisan kepimpinan tertinggi UMNO, yang tampil mendedahkan motif sebenar tindakan beliau adalah akibat rasa kecewa selepas tuntutan peribadinya untuk meletakkan anak kandungnya sebagai calon BN tidak diendahkan parti.
Berita berkaitan
June 28, 2026, 8:49 am
'Saya sihat, hanya perlukan masa bertenang': Nor Afiza sudah hubungi polis
June 28, 2026, 8:30 am
Wanita kritikal, melecur 70 peratus terkena renjatan elektrik akibat cuba curi kabel
June 28, 2026, 8:14 am
Siasat buku 'Wanita Syurga': JAKIM pandang serius dakwaan salah tulis ayat al-Quran
June 27, 2026, 5:47 pm
PRN Johor: Populariti KJ jadi 'game changer', mampu lonjak kempen Onn Hafiz
June 27, 2026, 5:30 pm
'Formula KJ' jadi taruhan Onn Hafiz
June 27, 2026, 12:05 pm
Kerajaan kaji dasar reklamasi air negara demi tampung keperluan pusat data
June 27, 2026, 11:51 am
Onn Hafiz sedia berjuang habis-habisan hadapi saingan dua penjuru di DUN Machap
June 27, 2026, 10:37 am
Proses penamaan calon PRN Johor selesai, tempoh berkempen 14 hari bermula secara rasmi
June 27, 2026, 10:28 am
