TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan kaji dasar reklamasi air negara demi tampung keperluan pusat data

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 27 Jun — Kerajaan sedang melaksanakan kajian menyeluruh bagi mewujudkan asas dasar serta infrastruktur berkaitan dasar reklamasi air negara khusus untuk menyokong pertumbuhan pesat industri pusat data.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan bahawa inisiatif baharu itu dirancang untuk menjadi pemacu kepada pembentukan strategi dan polisi masa hadapan negara.

Beliau menyatakan bahawa pendekatan berkenaan akan melibatkan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan termasuk kementerian, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kenyataan tersebut diulas beliau ketika ditemui pengamal media selepas menyampaikan ucaptama sempena Sidang Kemuncak Ekonomi & Teknologi Digital Dunia Ke-5 2026 yang berlangsung pada Khamis.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan bahawa Malaysia kini menghasilkan 48.5 juta liter air terawat semula sehari dan menyasarkan peningkatan sehingga 118 juta liter sehari menjelang tahun 2030 untuk kegunaan sektor industri.

Sementara itu, Pelan Strategik 2026-2030 kementeriannya bakal menterjemahkan visi tersebut menerusi pelaksanaan 119 program serta 133 sasaran boleh ukur dengan memfokuskan kepada pemodenan grid, pendigitalan, dan pengurusan permintaan.

Dari aspek pembekalan pula, Malaysia dilaporkan telah melepasi kapasiti 13.3 gigawatt tenaga boleh baharu yang dipasang setakat tahun 2025 dengan menyaksikan sektor tenaga solar mencatatkan kadar pertumbuhan paling rancak.

Kerajaan kini sedang giat membangunkan projek solar berkapasiti 1,000 megawatt bagi membekalkan tenaga bersih ke Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sekali gus menyokong ekosistem infrastruktur digital di koridor berkenaan.

Beliau menambah bahawa kesemua inisiatif tersebut saling berkait rapat dan membentuk satu respons bersepadu negara dalam mendepani cabaran yang membabitkan sektor tenaga, air, serta infrastruktur digital secara serentah.

+ - reset