Berita Dunia
Israel tekad cari, hapus Yahya Sinwar

BAITULMAQDIS 8 Ogos – Israel berikrar untuk menghapuskan ketua baru Hamas, Yahya Sinwar, yang didakwa menjadi dalang dalam serangan 7 Oktober hingga menimbulkan ketegangan serantau antara Palestin dan rejim zionis itu.
Sinwar dilantik untuk mengetuai kumpulan pejuang Hamas Palestin ketika Israel bersiap sedia untuk sebarang tindakan balas Iran atas pembunuhan pendahulunya, Ismail Haniyeh, minggu lalu di Tehran.
Susulan itu, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, berkata Israel 'bertekad' untuk mempertahankan diri.
"Kami bersedia dari segi pertahanan dan serangan," katanya kepada rekrut baharu.
Ketua tentera, Leftenan Jeneral Herzi Halevi, turut berikrar untuk 'mencari Sinwar, menyerangnya dan memaksa Hamas mencari pemimpin lain'.
Sinwar, antara pemimpin Hamas di Gaza sejak 2017, tidak pernah dilihat sejak serangan 7 Oktober lalu, yang disifatkan paling berdarah dalam sejarah Israel.
Seorang pegawai kanan Hamas memberitahu AFP, pemilihan Sinwar sekali gus menghantar mesej bahawa pertubuhan itu 'memilih laluan meneruskan perjuangan'.
Berikutan itu, penganalisis yakin Sinwar, yang dilihat lebih cenderung memilih perjuangan berbanding perdamaian, tidak akan bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza.
Kedudukan Sinwar yang lebih dekat dengan Tehran berbanding Haniyeh, yang tinggal di Qatar, dikatakan menjadi faktor utama mempengaruhi hala tuju beliau.
Sekutu Hamas di Lubnan, Hizbullah, turut mengucapkan tahniah kepada Sinwar dan berkata pelantikan itu mengesahkan 'musuh... gagal mencapai objektifnya' dengan membunuh pemimpin dan pegawai Hamas.
Hizbullah yang disokong Iran juga berjanji untuk membalas dendam atas kematian Haniyeh dan komander tenteranya, Fuad Shukr, dalam serangan Israel di Beirut beberapa jam sebelum pembunuhan Haniyeh.
Pemimpinnya, Hassan Nasrallah, berkata kumpulannya akan menyerang balas 'bersendirian atau dalam konteks tindakan bersatu membabitkan semua penentang Israel' dalam kumpulan yang disokong Iran di rantau itu.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, berkata terpulang kepada Sinwar untuk membantu mencapai gencatan senjata memandangkan dia 'telah dan masih kekal sebagai penentu utama'.
Orang awam di Israel dan Gaza melihat pelantikan Sinwar dengan rasa tidak senang kerana pendirian beliau yang pro-peperangan.
AS yang menghantar kapal perang dan jet tambahan ke rantau itu turut menggesa kedua-dua Iran dan Israel untuk mengelakkan peningkatan ketegangan. - AFP
Berita berkaitan
May 2, 2025, 11:07 am
Dilanda ribut pasir selepas kebakaran hutan, Israel isytihar darurat
April 29, 2025, 11:33 am
Gangguan bekalan elektrik besar landa Eropah Barat, Sepanyol, Portugal, darurat diisytihar
April 24, 2025, 12:50 pm
Gempa bumi 6.2 skala Ritcher gegar Istanbul, 236 cedera akibat panik
April 18, 2025, 11:51 am
Empat maut, kereta kabel terjatuh ke gaung
April 16, 2025, 1:01 pm
Sudan bergolak semula, RSF isytihar kerajaan baharu ketika krisis kemanusiaan memuncak
April 16, 2025, 11:26 am
PM Kemboja sampaikan takziah, kenang sumbangan Tun Abdullah
April 16, 2025, 11:20 am
Raja Salman, Putera Mahkota Arab Saudi ucap takziah atas pemergian Pak Lah
April 15, 2025, 6:03 pm
Parlimen Singapura dibubar, pilihan raya umum Ke-14 pada 3 Mei
April 10, 2025, 7:56 am
Trump tangguh tarif timbal balik ke atas lebih 75 negara selama 90 hari
April 8, 2025, 12:29 pm