TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kakitangan Majlis Daerah Maran Maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja

By
|
Kongsi
image

MARAN 13 Mei - Seorang kakitangan Majlis Daerah Maran (MDM) maut dalam satu kemalangan melibatkan motosikal dan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 84 Jalan Kuantan–Kuala Lumpur, pagi tadi.

Mangsa, Yuhairul Mohd Yusof, 47 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8 pagi ketika mangsa sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Pesagi, Chenor menuju ke tempat kerja di pejabat MDM.

“Siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha Y16ZR yang ditunggang mangsa telah melanggar bahagian belakang kiri sebuah MPV jenis Nissan Grand Livina yang sedang membelok ke simpang kanan menuju ke Kampung Sentosa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pemandu MPV Tidak Cedera, Siasatan Masih Dijalankan

Pemandu MPV yang merupakan seorang wanita berusia 60 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pihak polis kini meneruskan siasatan lanjut berhubung insiden ini di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, iaitu menyebabkan kematian akibat pemanduan cuai atau berbahaya.

“Kami akan melengkapkan siasatan termasuk mengambil keterangan saksi bagi menentukan punca sebenar kemalangan,” ujar Superintenden Wong.

Tragedi ini sekali lagi mengingatkan semua pengguna jalan raya mengenai kepentingan memandu secara berhemah serta sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling, khususnya ketika membelok atau menukar laluan. - Media Telus

+ - reset