TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya tak takut penjara, lebih baik fikir amalan dan dosa masing-masing' - Rafizi balas sindiran Puad

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 1 Julai - Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli akhirnya membalas sindiran berulang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, sambil menegaskan bahawa beliau tidak pernah gentar dengan sebarang ugutan atau cubaan mengaitkannya dengan salah laku.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, selama ini beliau memilih untuk berdiam diri kerana menghormati kedudukan masing-masing dalam Kerajaan Perpaduan, namun kenyataan terbaharu Puad yang menyentuh soal "kes boleh dicari" dianggap sudah melampaui batas.

“Bertahun-tahun dia cuit saya tapi saya tidak pernah balas. Sebahagiannya kerana saya menghormati tata cara bila duduk bersama dalam kerajaan, sebagai pimpinan kanan PKR, saya tidak wajar menghentam secara terbuka seorang wakil rakyat dari Umno.

"Sepatutnya, orang berbudi kita berbahasa. Tapi tidak begitulah, sebab manusia ni ada macam-macam jenis,” katanya secara sinis dalam satu hantaran media sosial hari ini.

Menurut Rafizi, sepanjang tempoh menjadi menteri, beliau sentiasa memastikan diri tidak mencampuri sebarang urusan perolehan, termasuk membentuk jawatankuasa khas bagi meluluskan perolehan hartanah Bumiputera bernilai lebih RM20 juta yang secara dasarnya di bawah kuasa beliau.

"Kalau saya takutkan ada kes, saya tidak meletakkan jawatan. Saya akur kepada apa saja yang dikehendaki. Suruh saya diam, saya diam. Suruh saya melompat, saya melompat.

“Sepanjang saya menjadi menteri, saya tidak pernah memanggil KSU (ketua setiausaha) atau pegawai untuk apa-apa yang bersabit perolehan.

"Insya-Allah, saya tidak pernah diugut, dipanggil atau dilaporkan ada kes,” katanya lagi.

Rafizi turut mengingatkan Puad tentang sejarah peranannya sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) suatu ketika dahulu, yang menurut beliau menjadi alat mempertahankan kerajaan BN ketika itu daripada pelbagai pendedahan skandal menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

"Masa Puad Zarkashi jadi KP Jasa, kerajaan itulah dan pimpinan parti dialah yang mengheret saya ke mahkamah sehingga 14 kes, termasuk dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun.

"Masa itu pun saya reda semuanya dan saya serahkan kepada ketentuan Allah."

Tambahnya, pencapaian politik Puad yang disifatkan kecil sepanjang lebih dua dekad dalam UMNO juga disentuh, apabila menyindir kemenangan tunggalnya di DUN Rengit dalam PRN Johor 2022.

“Nasib baik, PKR/PH masuk PRN Johor 2022 dalam keadaan sendu. Menanglah kerusi Rengit. Berpuluh tahun penyertaan Puad Zarkashi dalam politik dan Umno sejak 1990-an, menang sekali di parlimen dan menang sekali di DUN,” katanya.

Sebagai penutup, Rafizi menyeru agar Puad lebih fokus kepada muhasabah diri berbanding sibuk memikirkan nasib politik orang lain.

"Nasihat saya kepada Puad Zarkashi, jangan bimbangkan pengakhiran politik saya.

"Lebih baik fikirkan amalan dan dosa pahala masing-masing, lebih-lebih lagi kalau umur itu 20 tahun lebih tua dari saya."

Terdahulu, Puad membidas kenyataan Rafizi mengenai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang didakwa sebagai reaksi tergesa-gesa kerajaan susulan kritikan terhadap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

+ - reset