TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Gangguan trafik dijangka sempena mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di KL

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 1 Julai – Gangguan trafik dijangka berlaku di sekitar ibu negara sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 yang akan berlangsung dari 8 hingga 11 Julai ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menurut kenyataan Wisma Putra, gangguan trafik dijangka bermula pada 4 Julai dan melibatkan kawasan dalam radius satu kilometer dari KLCC serta beberapa laluan utama dan lebuh raya yang menghubungkan pintu masuk utama ke pusat bandar.

“Langkah ini diambil bagi menjamin kelancaran perjalanan mesyuarat serta keselamatan para delegasi antarabangsa yang akan hadir ke persidangan penting berkenaan.

“Maklumat terperinci mengenai laluan terjejas serta penutupan jalan-jalan tertentu akan diumumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu hari ini.

Wisma Putra turut memohon maaf atas segala kesulitan yang mungkin timbul dan menghargai kerjasama serta kefahaman rakyat Malaysia sepanjang tempoh penganjuran acara tersebut.

Orang awam dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

“Sebagai tuan rumah kepada acara diplomatik berprofil tinggi ini, Malaysia komited untuk memastikan segala urusan berjalan lancar dan berjaya, tanpa menjejaskan kesejahteraan serta keselamatan awam,” jelas kenyataan itu. – Media Telus

+ - reset