TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pas My50 kini boleh diakses secara digital melalui aplikasi TNG eWallet

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 1 Julai - Pengguna pengangkutan awam kini boleh mendapatkan pas perjalanan tanpa had My50 secara digital menerusi aplikasi Touch ’n Go (TNG) eWallet, sekali gus tidak lagi perlu beratur panjang di kaunter.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mendigitalkan perkhidmatan sedia ada serta meningkatkan kemudahan kepada pengguna.

“Pas ini diperkenalkan pada tahun 2019 semasa penggal pertama saya menjadi Menteri Pengangkutan. Ketika itu, MyKad digunakan kerana ia merupakan kaedah paling cepat dan mudah.

“Kini, dengan perkembangan teknologi, TNG eWallet yang mempunyai 24 juta pengguna sedia ada dan telah melaksanakan e-KYC (pengesahan identiti), membolehkan kita menawarkan My50 secara digital. Ia juga dapat meminimumkan risiko penyalahgunaan oleh bukan warganegara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Anthony, kerajaan kini sedang berusaha memperluaskan pelaksanaan pas digital itu kepada Pas Harian sebagai pilihan alternatif kepada pengguna.

“Seterusnya, usaha sedang dilaksanakan untuk memperluaskan pilihan digital kepada Pas Harian,” katanya.

Untuk mengaktifkan pas My50 secara digital, pengguna perlu memautkan kad TNG fizikal mereka kepada aplikasi TNG eWallet, dan perlu memastikan baki minimum RM5 dalam kad ketika digunakan untuk sebarang perkhidmatan RapidKL.

Bagaimanapun, Anthony menjelaskan bahawa pengguna pengangkutan awam atau warga emas yang tidak biasa menggunakan aplikasi mudah alih atau tidak mempunyai eWallet masih boleh memperbaharui atau mengaktifkan pas My50 seperti biasa dengan menggunakan MyKad di kaunter. – Media Telus

+ - reset