TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Nama kena petik, bekas Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha nafi terlibat kes Zara Qairina

By
|
Kongsi
image

PAPAR 29 Julai - Bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Datin Rosnih Nasir menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya dalam insiden tragik membabitkan kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.

Menurut Rosnih, beliau telah bersara pada 22 November tahun lalu dan tidak lagi terbabit dalam urusan pentadbiran sekolah ketika kejadian malang itu berlaku pada 16 Julai lalu.

"Saya terpanggil memberi penjelasan berhubung fitnah dan kekeliruan yang tular di media sosial melibatkan nama saya dalam insiden menyayat hati membabitkan Allahyarhamah adik Zara Qairina.

"Saya berkhidmat sebagai Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha dari 10 Mac hingga 22 November tahun lalu sebelum bersara daripada perkhidmatan.

"Maka, saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang dakwaan yang mengaitkan saya secara langsung atau tidak langsung dengan peristiwa tragik yang berlaku baru-baru ini.

"Perkara ini amat menyedihkan saya sebagai seorang ibu dan juga seorang pendidik," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Rosnih turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan mendoakan agar roh pelajar tersebut ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

"Semoga keluarganya diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini," katanya.

Beliau juga menyatakan sokongan penuh terhadap siasatan pihak polis bagi merungkai punca kejadian dan menzahirkan keyakinan bahawa kebenaran akan terungkai.

"Saya percaya kebenaran akan terserlah apabila siasatan selesai," katanya sambil mengakhiri kenyataan dengan tanda pagar #justiceforzara.

Terdahulu, Zara Qairina ditemui dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sekolah pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu, sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut. Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 1 tengah hari keesokan harinya.

Semalam, pihak polis mengesahkan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

+ - reset