Berita Berita
Hutang kerajaan cecah RM1.3 trilion tampung perbelanjaan pembangunan

KUALA LUMPUR 29 Julai - Hutang Kerajaan Persekutuan kini mencecah RM1.3 trilion berbanding RM1.25 trilion pada akhir tahun 2024, susulan keperluan membiayai defisit fiskal bagi menampung perbelanjaan pembangunan (DE), menurut Kementerian Kewangan.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, jumlah liabiliti kerajaan pula direkodkan sebanyak RM384.6 bilion setakat akhir Mac lalu, sedikit menurun berbanding RM384.8 bilion pada akhir tahun lalu.
"Pinjaman kerajaan digunakan secara berhemat untuk membiayai projek-projek pembangunan strategik seperti infrastruktur, pendidikan, kesihatan, serta program perlindungan sosial," katanya menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH–Beruas) dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai langkah kawalan termasuk rasionalisasi subsidi, semakan semula perbelanjaan badan berkanun dan penambahbaikan menyeluruh terhadap struktur perbelanjaan kerajaan.
Lim berkata, usaha konsolidasi fiskal juga diteruskan secara beransur-ansur, termasuk memperluas asas hasil dan memastikan kutipan hasil yang mampan.
"Pinjaman kerajaan hanya untuk membiayai projek dan program di bawah DE yang memberi pulangan kepada negara dan rakyat dalam tempoh jangka masa panjang.
"Selain itu, menetapkan had pendedahan jaminan kewangan kepada 25 peratus daripada KDNK melalui Akta 850 supaya pendedahan kerajaan kepada jaminan kewangan sentiasa terkawal berdasarkan keupayaan kewangan dan ekonomi semasa," katanya.
Kerajaan juga memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek berkonsepkan ‘user-pay’ menerusi Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030), bagi mengurangkan beban kewangan.
Antara langkah lain termasuk menyemak semula pelaksanaan projek ‘off-budget’ dan mengehadkan pelaksanaan projek pembangunan di bawah skop serta siling Rancangan Malaysia Lima Tahun.
Lim berkata lagi, pelbagai inisiatif strategik kerajaan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), serta Program Pengaktifan dan Pembaharuan Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP), dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan hasil kerajaan.
Selain itu, penambahbaikan dasar seperti pelarasan gaji minimum turut dijangka mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman.
"Kerajaan turut komited dalam melaksanakan reformasi institusi yang menyokong agenda pembangunan negara melalui penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan.
"Ini untuk menambah baik proses dan tadbir urus perolehan kerajaan serta penggubalan akta berkaitan Syarikat Milik Kerajaan (SOE) untuk memperkukuh tadbir urus korporat, meningkatkan akauntabiliti dan mengoptimumkan prestasi SOE," katanya.
Berita berkaitan
July 30, 2025, 10:06 am
Naikkan cukai vape sementara tunggu pengharaman penuh, KKM jangan terus diam diri – Wan Saiful
July 30, 2025, 8:05 am
Rafizi antara tujuh pemimpin dilihat berpotensi jadi PM ke-11
July 30, 2025, 7:44 am
KPM serah sepenuhnya siasatan kes guru ditumbuk kepada polis
July 30, 2025, 7:11 am
Kes buli pelajar sekolah menengah diselesaikan di peringkat sekolah
July 30, 2025, 6:57 am
Guru besar maut kemalangan, kereta terbakar 80 peratus
July 29, 2025, 6:54 pm
Polis siasat hantaran fitnah terhadap artis lelaki terkenal
July 29, 2025, 6:39 pm