TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kanak-kanak bawah 13 tahun mungkin dilarang miliki akaun media sosial - Fahmi

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Kementerian Komunikasi kini sedang meneliti cadangan untuk mengharamkan kanak-kanak bawah umur 13 tahun daripada memiliki akaun media sosial, dalam usaha melindungi kumpulan tersebut daripada pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, berkata larangan itu antara langkah yang sedang dikaji memandangkan ramai pelajar bawah umur telah mempunyai akaun media sosial seperti TikTok, walaupun ia melanggar syarat penggunaan platform berkenaan.

“Sekiranya ahli Yang Berhormat bertemu dengan mana-mana kumpulan pelajar bawah 13 tahun dan bertanya kepada mereka adakah anda mempunyai akaun TikTok, ramai yang akan kata ya.

“Ini sebenarnya satu kesalahan yang diakui oleh pihak TikTok sendiri. Jadi, kita sedang teliti… salah satu caranya ialah bawah 13 tahun kita tidak membenarkan mempunyai akaun media sosial,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) di Dewan Rakyat hari ini.

Fahmi berkata demikian sebagai menjawab cadangan mewujudkan dasar khas kebangsaan bagi kesejahteraan kanak-kanak, khususnya dalam menangani kandungan digital dan dalam talian yang tidak sesuai untuk golongan tersebut.

Beliau menambah, bagi individu berusia 13 tahun ke atas, satu modul literasi digital akan diperkenalkan bagi memastikan mereka mempunyai kefahaman yang lebih baik terhadap kerencaman maklumat dan risiko dalam dunia digital masa kini.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi turut memaklumkan bahawa sebanyak 1,443 kandungan jelik dan jelik melampau membabitkan kanak-kanak telah diturunkan oleh penyedia platform atas permintaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Katanya, tindakan itu diambil kerana kandungan terbabit melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform masing-masing.

 

+ - reset