TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kanak-kanak Russia maut disengat obor-obor kotak di Langkawi, spesies 'rare' dan paling bahaya

By
|
Kongsi
image

LANGKAWI 20 Nov – Sebanyak 102 kes sengatan obor-obor direkodkan di perairan pulau ini dalam tempoh tiga tahun, dengan tahun 2023 mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 73 kes.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Langkawi, Kapten (PA) Khairul Afzan Md. Yasin berkata, data itu menunjukkan Menara Penyelamat Pantai (MPP) Pantai Chenang merekodkan kes tertinggi iaitu 47, diikuti MPP Pelangi (sembilan kes) dan MPP Pantai Tengah (17 kes).

“Pada 2023, hanya enam kes dicatatkan membabitkan lima kes di Pantai Chenang dan satu kes di Pantai Tengah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tahun ini merekodkan 23 kes setakat 15 November, termasuk kes tragis membabitkan seorang kanak-kanak lelaki warga Russia berusia dua tahun yang maut akibat sengatan obor-obor kotak (box jellyfish) ketika mandi di Pantai Chenang, Sabtu lalu.

Tragedi itu merupakan kes pertama melibatkan obor-obor kotak tahun ini, berbanding kes sebelum ini yang hanya membabitkan obor-obor biasa.

Susulan insiden berkenaan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi meningkatkan rondaan keselamatan di sepanjang kawasan pantai tumpuan pelancong dan menempatkan notis amaran kepada pengunjung mengenai kehadiran spesies berbahaya itu.

Khairul berkata, perubahan cuaca dan ribut antara faktor yang menyumbang kepada kemunculan obor-obor kotak di perairan Langkawi sejak kebelakangan ini, memandangkan spesies berkenaan jarang ditemui sebelum ini.

Semalam media melaporkan bahawa mangsa, Vladimir Iakubanets, 2, disahkan meninggal dunia pada pukul 9.46 pagi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

 

+ - reset