Berita Berita
Pakar IJN terpilih sertai pasukan perubatan Sultan Brunei
KUALA LUMPUR 19 Jan - Kepakaran perubatan tempatan terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila seorang doktor pakar dari Institut Jantung Negara (IJN) terpilih menyertai pasukan perubatan Diraja Brunei bagi merawat Sultan Hassanal Bolkiah.
IJN dalam satu kenyataan memaklumkan Ketua Kardiologi dan Pengarah Perkhidmatan Kegagalan Jantungnya, Datuk Seri Dr Azmee Ghazi, dipilih sebagai sebahagian daripada pasukan perubatan khas untuk prosedur perubatan yang akan dijalani Sultan Brunei itu.
Institut berkenaan turut mendoakan agar prosedur terbabit berjalan lancar serta Sultan Hassanal Bolkiah dikurniakan pemulihan yang cepat dan berterusan.
"Pemilihan Datuk Seri Dr Azmee Ghazi mencerminkan kepercayaan tinggi terhadap kepemimpinan klinikal dan kepakaran pakar IJN dalam memberikan tahap penjagaan kesihatan yang tertinggi," menurut kenyataan itu hari ini.
IJN menjelaskan, jemputan untuk menyumbangkan khidmat kepakaran bersama pasukan perubatan Diraja Brunei merupakan satu pengiktirafan profesional yang amat bermakna, sekali gus mengukuhkan kedudukan IJN sebagai pusat kecemerlangan kardiovaskular di peringkat serantau.
"Pembabitan ini turut membuktikan kepakaran IJN menjadi rujukan melangkaui sempadan negara, khususnya bagi rawatan kardiovaskular yang kompleks dan berteknologi tinggi, hasil pengalaman berdekad-dekad serta pematuhan kepada piawaian kualiti antarabangsa," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, penyertaan Dr Azmee menyerlahkan kepemimpinan beliau dalam bidang kardiologi lanjutan dan pengurusan kegagalan jantung, selain mencerminkan komitmen berterusan IJN dalam melahirkan pakar bertaraf dunia.
"IJN sentiasa bersedia untuk menyumbangkan kepakaran di mana sahaja ia diperlukan, berteraskan profesionalisme, ketepatan serta tanggungjawab murni untuk berkhidmat," katanya.
Pada 14 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menitipkan doa dan ucapan kesejahteraan buat Sultan Hassanal Bolkiah.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan beliau menerima perkhabaran bahawa Sultan Brunei itu dijadualkan menjalani rawatan kesihatan dalam masa terdekat.
Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dijadualkan menjalani prosedur pembedahan penggantian sendi lutut kanan pada 18 Januari.
Berita berkaitan
January 19, 2026, 9:42 pm
SPRM teliti dakwaan skim pengubahan wang haram bernilai RM2.5 bilion babit IJM
January 19, 2026, 9:30 pm
'Influencer' media sosial wajib isytihar pendapatan termasuk hadiah, review produk - LHDN
January 19, 2026, 7:30 pm
Bapa durjana dipenjara 16 tahun hempas anak dua bulan hingga maut gara-gara bergaduh dengan isteri
January 19, 2026, 5:10 pm
Saman Najib terhadap Tommy Thomas diselesaikan secara baik
January 19, 2026, 4:36 pm
Penuntut IPT maut tercampak keluar dalam nahas tiga kenderaan di Lebuhraya CSR Bentong
January 19, 2026, 3:26 pm
Jenazah Nadia Kesuma selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Dhahban, Jeddah
January 19, 2026, 2:50 pm
Bekas pegawai MARA didakwa 25 pertuduhan pecah amanah bayaran balik pinjaman bernilai RM15,892
January 19, 2026, 2:33 pm
