TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Influencer' media sosial wajib isytihar pendapatan termasuk hadiah, review produk - LHDN

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 19 Jan – Semua pempengaruh media sosial atau digital diwajibkan mengisytiharkan setiap bentuk pendapatan termasuk barangan percuma atau hadiah yang diterima bagi tujuan ulasan dan promosi produk, selaras dengan garis panduan baharu yang dikeluarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

LHDN memaklumkan, garis panduan berkenaan bertujuan memudahkan pematuhan undang-undang cukai oleh orang awam serta pegawai LHDN, selain memastikan layanan cukai yang lebih jelas terhadap pendapatan pempengaruh media sosial atau digital.

Menurut LHDN, Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri mempunyai kuasa di bawah Seksyen 134A Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP) untuk menerbitkan, meminda atau membatalkan garis panduan itu pada bila-bila masa sekiranya perlu.

LHDN menjelaskan, pempengaruh media sosial atau digital merujuk kepada individu yang mempunyai keupayaan mempengaruhi orang lain melalui media sosial atau platform digital menerusi kuasa, pengetahuan, kedudukan atau hubungan dengan pengguna.

“Pempengaruh media sosial bukan sekadar individu yang mempunyai ramai pengikut, malah mereka mampu menjana pendapatan lumayan melalui aktiviti di media sosial dan digital.

“Pempengaruh wajar diiktiraf sebagai satu kerjaya kerana pendapatan boleh terbit dan diterima daripada platform media sosial atau aktiviti pemasaran hasil daripada pengaruh mereka,” katanya.

Menurut LHDN, antara aktiviti pempengaruh termasuk menghasilkan kandungan audio, video atau penulisan, muncul dalam program atau acara media sosial, terbabit dalam promosi produk serta menerima bayaran, hadiah atau sebarang manfaat daripada pihak lain hasil penglibatan mereka di media sosial.

LHDN turut menjelaskan pempengaruh dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu pempengaruh individu dan pempengaruh berasaskan objek.

Katanya, pempengaruh individu merangkumi ahli politik, artis, ahli sukan, golongan profesional, pelajar atau suri rumah, manakala pempengaruh berasaskan objek pula melibatkan sebarang objek seperti watak animasi, watak lakonan atau watak yang dicipta dan didaftarkan di platform media sosial serta mempunyai pengikut.

Mengulas mengenai pendapatan pempengaruh, LHDN berkata ia merangkumi bayaran langsung daripada platform media sosial, bayaran sebagai duta produk, jualan barangan, jualan akaun atau ID pempengaruh, royalti watak media sosial serta lain-lain penerimaan hasil.

Pendapatan juga boleh diterima dalam pelbagai bentuk termasuk fi pengurusan, yuran bakat, yuran peserta, bayaran khidmat rundingan dan sebagainya.

“Bayaran ini boleh diterima dalam bentuk tunai, pemberian barangan, baucar diskaun, perkhidmatan percuma, tanda suka (emoji), hadiah atau penghargaan di media sosial yang mempunyai nilai wang,” katanya.

Dari segi perbelanjaan, LHDN memaklumkan pempengaruh boleh menuntut perbelanjaan yang dibenarkan di bawah Seksyen 33 ACP seperti kos internet, penggambaran dan penyuntingan bahan, manakala perbelanjaan peribadi atau berbentuk modal tidak dibenarkan.

Selain itu, pempengaruh media sosial diwajibkan menyimpan rekod penerimaan pendapatan serta dokumen sokongan berkaitan semua pendapatan dan perbelanjaan bagi tujuan pengauditan oleh LHDN.

“Rekod dan dokumen sokongan itu hendaklah disimpan selama tujuh tahun bermula dari akhir tahun borang nyata cukai pendapatan dikemukakan kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri,” katanya.

+ - reset