TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bekas pegawai MARA didakwa 25 pertuduhan pecah amanah bayaran balik pinjaman bernilai RM15,892

By
|
Kongsi
image

MUAR 19 Jan - Seorang bekas pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 25 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang bayaran balik pinjaman empat individu berjumlah RM15,892 sejak lima tahun lalu.

Tertuduh, Nor Hasmal Hazwani Mohd Kamal, 40, yang baru selesai tempoh berpantang, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa menyalahgunakan wang bayaran balik pinjaman MARA yang didepositkan oleh empat peminjam iaitu Muhammad Zakaria Rahmat (41), Haslinda Hanapi (46), Mohd Izar Md Zan (45) dan Hamidah Mohd Zain (55) dengan memasukkannya ke dalam akaun peribadinya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat MARA Daerah Tangkak antara 11 Mac 2021 hingga 2 November 2024.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda, jika sabit kesalahan, bagi setiap pertuduhan.

Siasatan kes dijalankan selepas polis menerima laporan daripada pegawai atasan MARA berhubung keraguan terhadap pembayaran balik pinjaman peribadi dan perniagaan melibatkan empat skim di bawah agensi berkenaan.

Hasil siasatan mendapati mangsa membuat bayaran pinjaman dengan memasukkan wang ke dalam akaun tertuduh, kononnya bagi memudahkan urusan tanpa perlu hadir ke kaunter.

Perbuatan itu terbongkar selepas tertuduh berpindah ke cawangan lain dan mangsa menerima surat tunggakan bayaran balik pinjaman daripada MARA.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi dan Nur Ameerah Allaudden, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM22,000 bagi semua pertuduhan dan mengarahkan beliau melapor diri di balai polis berhampiran pada Isnin pertama setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 April ini bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sementara itu, tertuduh dijadualkan sekali lagi dihadapkan ke mahkamah sama pada Rabu dan Khamis ini bagi menghadapi baki 41 pertuduhan berkaitan kes berkenaan.

Secara keseluruhan, Nor Hasmal Hazwani berdepan 66 pertuduhan melibatkan sembilan mangsa dengan jumlah kerugian keseluruhan RM59,352.

+ - reset