Berita Berita
Saman Najib terhadap Tommy Thomas diselesaikan secara baik
SHAH ALAM 19 Jan - Kes saman difailkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, berhubung kandungan memoir My Story: Justice in the Wilderness, diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Menurut laporan Berita Harian, penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Datuk Khadijah Idris selepas kedua-dua pihak memaklumkan mahkamah bahawa persetujuan bersama telah dicapai bagi menamatkan pertikaian berkenaan sepenuhnya.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata satu penyelesaian muktamad dicapai dan kenyataan bersama telah disediakan oleh Tommy Thomas serta penerbit buku berkenaan, GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd, yang masing-masing dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.
Susulan itu, mahkamah merekodkan terma penghakiman persetujuan di mana Najib menarik balik saman tanpa kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
Pada prosiding sama, peguam Alan Adrian Gomez membacakan kenyataan Tommy Thomas yang menyatakan beliau tidak mengetahui sebarang bukti yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, sejak penerbitan memoir berkenaan pada tahun 2021.
Thomas turut menegaskan bahawa sekiranya buku itu dicetak atau diterbitkan semula, kenyataan tersebut perlu dimasukkan pada halaman sama dengan kenyataan yang dipertikaikan, iaitu muka surat 404 hingga 405.
Peguam Gerakbudaya, Gokul Radhakrishnan, memaklumkan pihaknya menerima pakai kenyataan Thomas secara substantif.
Najib sebelum ini memfailkan saman berhubung dakwaan kandungan fitnah dalam Bab 42 memoir berkenaan bertajuk Altantuya, dan menuntut ganti rugi, permohonan maaf serta injunksi kekal bagi menghalang penerbitan kenyataan yang didakwa memfitnahnya.
Sementara itu, pada sidang akhbar, Muhammad Shafee menyifatkan penyelesaian kes saman tersebut sebagai kemenangan kepada Najib, kerana Tommy Thomas mengakui tiada bukti yang mengaitkan bekas Perdana Menteri itu dengan pembunuhan Altantuya.
Menurutnya, penyelesaian itu seharusnya menamatkan khabar angin dan spekulasi yang berlarutan sejak sekian lama terhadap Najib berhubung kes berkenaan.
Untuk rujukan, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar disabitkan bersalah membunuh Altantuya pada tahun 2006. Pada Oktober 2024, hukuman mati ke atas Azilah digantikan dengan penjara 40 tahun susulan pemansuhan hukuman mati mandatori.
Berita berkaitan
October 17, 2026, 10:38 am
JPN gesa henti sebar video lama upacara perkahwinan bukan Islam babit Saifuddin
October 17, 2026, 10:30 am
24 kawasan catat IPU tidak sihat, Pasir Gudang paling tinggi
October 16, 2026, 10:17 pm
Mayat bayi tanpa kepala, sebelah tangan ditemukan dalam longkang di Kuala Berang
October 16, 2026, 10:06 pm
Sembilan sekolah di N Sembilan bingung, terima bungkusan misteri berisi tepung gandum, pinggan plastik
October 16, 2026, 9:09 pm
Jerebu: Kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan mental murid jadi perhatian Raja Permaisuri Agong
October 16, 2026, 8:50 pm
Kesan tikaman di perut, pipi mangsa, suami pegawai AKPS tunjuk sendiri lokasi pisau kepada polis
October 16, 2026, 8:15 pm
JKN Kedah tambah baik masa menunggu di Hospital Jitra
October 16, 2026, 8:03 pm
“Siapa akan tanggung makan isteri, tiga anak?” – Kakak mangsa nahas BYD tuntut keadilan
October 16, 2026, 7:50 pm
Lima rakyat Malaysia ditahan di Tokyo dipercayai keldai dadah dibayar RM8,000
October 16, 2026, 4:49 pm
