TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PM umum pengecualian cukai 10 tahun kepada badan dan yayasan pendidikan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 4 Feb – Kerajaan bersetuju meluluskan pengecualian cukai selama 10 tahun kepada semua badan dan yayasan pendidikan sebagai langkah menyokong kelangsungan serta pembangunan sektor pendidikan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diumumkan ketika sesi dialog (town hall) bersama pelajar Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) di sini.

“Badan-badan atau yayasan pendidikan, peraturan ditetapkan oleh MOF, kalau tujuannya untuk pendidikan, yayasan sseperti Yayasan TAR kita luluskan pengecualian cukai 10 tahun,” katanya.

Dalam majlis sama, Anwar turut menyampaikan cek bernilai RM40 juta kepada Yayasan Universiti berkenaan, yang diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan sebagai geran bagi menampung kos operasi institusi itu.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan TARC, menzahirkan penghargaan terhadap kemudahan yang diberikan kerajaan.

Menurut beliau, pemberian geran dan pengecualian cukai berkenaan merupakan perkembangan positif kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha memperkasakan pendidikan negara.

“Saya fikir ini adalah berita yang sangat baik, dan secara kebetulan, status pengecualian cukai kami (TAR UMT) baru sahaja tamat pada 31 Disember 2025.

“Dengan (pelanjutan pengecualian cukai) ini, ia akan memberi kami ruang untuk merangka lebih banyak perancangan,” katanya.

Sebelum ini, pada awal Disember lalu, Wee dilaporkan meluahkan kebimbangan berhubung status pengecualian cukai universiti itu susulan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) masih belum meluluskan sebarang pelanjutan.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, kelewatan berkenaan berpotensi memberi kesan serius kepada ribuan pelajar.

+ - reset