TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dari tirai besi ke istana: Sultan Selangor terharu kisah bekas banduan PhD diberi pengampunan penuh

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 4 Feb – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Dr Malik Yatam, bekas banduan yang mencipta sejarah sebagai individu pertama memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) ketika menjalani hukuman penjara sebelum dikurniakan pengampunan penuh sempena Hari Keputeraan baginda pada tahun 2024.

Menurut Selangor Royal Office, pertemuan itu menyaksikan baginda bertanyakan khabar serta perancangan masa hadapan Malik selepas dibebaskan, selain menzahirkan rasa terharu terhadap perjalanan hidupnya yang penuh liku.

“Baginda amat tersentuh dengan kisah kehidupan Malik dan merasakan beliau wajar diberikan peluang kedua.

“Keputusan pengampunan dibuat selepas baginda meneliti semua faktor yang disembah maklum dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 24 November 2024,” menurut kenyataan itu hari ini.

Dr Malik, yang menjalani hukuman Tahanan Limpah Sultan (TLS) selama 24 tahun tanpa tarikh pembebasan, akhirnya dibebaskan pada 11 Disember 2024. Hukuman mati tidak dikenakan terhadapnya kerana kesalahan dilakukan ketika beliau berusia di bawah 18 tahun.

Selangor Royal Office memaklumkan, pertemuan hampir sejam itu berlangsung dalam suasana hening dan penuh emosi, selain menjadi pertemuan pertama seumpamanya antara Sultan Selangor dengan bekas banduan yang menerima pengampunan penuh daripada baginda.

“Baginda turut menasihatkan Malik supaya sentiasa menjaga nama baik keluarga dan kekal bersemangat untuk memperbaiki taraf hidup,” katanya.

Malik yang memulakan hukuman penjara pada usia 14 tahun pada tahun 2001, kini berusia 39 tahun dan berjaya memperoleh PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan hasil kegigihan melanjutkan pengajian ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Menurut kenyataan itu lagi, Malik berhijrah dari Sabah ke Semenanjung pada usia muda demi membantu keluarga selepas terpaksa berhenti sekolah akibat kesempitan hidup. Namun, kehidupannya berubah apabila dia menjadi mangsa eksploitasi dan penderaan majikan sehingga membawa kepada tragedi yang menjerumuskannya ke penjara.

Menjalani kehidupan di sebalik tirai besi tanpa kepastian masa depan, Malik akhirnya menyedari pendidikan adalah satu-satunya jalan untuk mengubah nasibnya.

Tanpa guru dan kelas formal, beliau memulakan pembelajaran dengan meminjam buku rakan, menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian pada 2006, diikuti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) setahun kemudian.

Usahanya diteruskan di peringkat ijazah sarjana muda sebelum akhirnya dianugerahkan ijazah doktor falsafah, sekali gus mencipta sejarah sebagai prospek pertama menggenggam PhD ketika masih menjalani hukuman penjara.

+ - reset