TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mayat reput separuh bogel ditemui di sungai Pantai Remis, polis sahkan kes bunuh

By
|
Kongsi
image

MANJUNG 4 Feb – Misteri penemuan mayat seorang lelaki yang ditemui dalam keadaan mereput di Sungai Jambatan Kampung Lubuk, Changkat Keruing dekat Pantai Remis pada 29 Januari lalu akhirnya terungkai apabila polis mengesahkan kes itu disiasat sebagai bunuh.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat berkenaan kira-kira jam 5.30 petang.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mayat lelaki terbabit ditemui dalam keadaan separuh bogel, hanya memakai kemeja-T berwarna biru bertulisan tanpa seluar, selain sudah berada dalam keadaan mereput.

“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dari sungai dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pantai Remis.

“Pemeriksaan awal turut mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada tubuh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Hasbullah berkata, bedah siasat yang dijalankan oleh Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan di kepala akibat hentakan objek tumpul.

Berikutan itu, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki melibatkan perbuatan membunuh.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837, atau Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222, atau melalui WhatsApp hotline 017-682 8005.

+ - reset