TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Ekonomi

CFO perlu bertindak sebagai pemacu strategi, bukan lagi ‘scorekeeper’ – Abdul Wahid

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 10 Sept - Ketua pegawai kewangan (CFO) perlu menjadi penggerak utama strategi syarikat dalam mendepani ketidaktentuan global dan bukan lagi dilihat sekadar sebagai “penjaga angka”. 

Pengerusi Majlis Penasihat Economic Club of Kuala Lumpur, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, peranan kewangan telah berubah secara mendasar, menuntut CFO untuk tampil lebih strategik dalam membayangkan semula fungsi kewangan, mengurus risiko secara tangkas dan memposisikan semula organisasi untuk pertumbuhan pada masa depan.

“Pasaran global yang semakin berdepan dengan volatiliti menuntut kebijaksanaan CFO dalam melihat lebih jauh ke hadapan.

"Hari ini, kewangan tidak lagi terhad kepada kerja-kerja pengiraan atau pelaporan, sebaliknya ia memerlukan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan, analitik ramalan dan papan pemuka digital bagi memberi pandangan masa nyata untuk keputusan strategik,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Kepimpinan Kelestarian CFO ASEAN 2025 di sini, semalam.

Abdul Wahid yang juga Penasihat ASEAN Economic Club berkata, selain teknologi, peranan CFO turut diperluas dengan perubahan jangkaan pelabur yang kini menilai kepimpinan kewangan berdasarkan kemampuan mereka memberi pandangan strategik, mengurus risiko secara dinamik dan memastikan modal diagih kepada peluang pertumbuhan.

Katanya, faktor kelestarian juga menjadi sebahagian besar ukuran prestasi syarikat memandangkan isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kini menentukan akses kepada modal, keyakinan pelabur dan kedudukan dalam rantaian bekalan global.

“Pesanannya jelas, syarikat yang ketinggalan dalam kelestarian akan sukar mendapatkan pembiayaan, menginsuranskan aset atau kekal dalam rantaian bekalan antarabangsa.

"Justeru, CFO mesti melihat ESG bukan sebagai laporan tambahan tetapi sebahagian daripada strategi dan peruntukan modal,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa rantau ASEAN masih memiliki potensi besar biarpun ekonomi dunia perlahan, dengan pertumbuhan dijangka mencecah 4.7 peratus tahun ini seperti diunjurkan Bank Pembangunan Asia (ADB).

Sehubungan itu katanya, korporat di rantau ini berpeluang menjadi peneraju dalam kelestarian dan inovasi, asalkan pemimpin kewangan berani memikul tanggungjawab lebih besar dalam menyesuaikan strategi perniagaan dengan keperluan semasa.

Sementara itu, Presiden KSI Strategic Institute for Asia Pacific, Tan Sri Michael Yeoh menegaskan peranan CFO masa kini telah berkembang melangkaui soal kewangan semata-mata, sebaliknya mereka perlu menjadi penjaga kepercayaan, juara kelestarian serta pemangkin inovasi, selain memastikan tadbir urus syarikat kekal kukuh dan berdaya tahan.

 

+ - reset