Berita Dunia
Sekutu Trump, Charlie Kirk maut ditembak depan khalayak ketika acara debat di Utah
WASHINGTON 11 Sept - Aktivis politik konservatif Amerika Syarikat (AS), Charlie Kirk, disahkan meninggal dunia selepas ditembak ketika menghadiri sebuah acara di Utah, menurut pengumuman Presiden Donald Trump pada Rabu.
Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump menulis: “Seorang tokoh hebat, malah legenda, Charlie Kirk, telah tiada.”
“Tiada siapa yang lebih memahami dan dekat dengan hati generasi muda di Amerika Syarikat selain Charlie. Beliau disayangi dan dikagumi semua orang, termasuk saya.
“Kini, beliau tidak lagi bersama kita. Saya dan Melania merakamkan ucapan takziah kepada isterinya, Erika, serta seluruh keluarga. Charlie, kami menyayangimu,” kata Trump.
Kirk, 30-an, merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama organisasi belia konservatif Turning Point USA.
Terdahulu, beliau dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas ditembak ketika sedang berucap dalam sebuah acara debat di Utah Valley University.
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan Kirk ditembak di bahagian leher ketika berucap di bawah khemah acara bertemakan “The American Comeback.”
Kejadian itu mencetuskan panik dalam kalangan penonton yang hadir.
Pihak berkuasa mengesahkan seorang suspek telah ditahan berhubung kejadian berkenaan.
Pertemuan kali terakhir Trump dan Kirk dirakam pada Disember 2024 ketika acara AmericaFest anjuran Turning Point USA di Phoenix, Arizona.
Turning Point USA yang ditubuhkan Kirk pada 2012 di Chicago dikenali sebagai platform politik yang memberi tumpuan kepada belia, khususnya di kampus universiti, bagi mengangkat agenda konservatif termasuk cukai rendah dan kerajaan kecil.
Kirk berjaya membina pengaruh besar dalam kalangan anak muda Republikan melalui gaya retorik lantang dan sering tampil dalam program televisyen arus perdana di Amerika.
Malah, beliau juga rapat dengan keluarga Trump dan sering mendapat tempat dalam acara parti Republikan.
Sepanjang kepimpinannya, Turning Point USA berkembang menjadi salah satu organisasi konservatif paling berpengaruh di Amerika Syarikat, menganjurkan konvensyen berskala besar serta melibatkan tokoh politik utama termasuk Trump sendiri.
Insiden tembakan yang meragut nyawa Kirk berlaku dalam suasana Amerika Syarikat berdepan peningkatan keganasan politik, termasuk beberapa serangan bermotifkan fahaman ideologi sejak tahun lalu.
Setakat ini, White House dan keluarga Kirk belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi lanjut mengenai pemergian beliau. – Agensi
Berita berkaitan
April 29, 2026, 9:10 am
Bekas Wanita Pertama Korea Selatan dipenjara 4 tahun
April 28, 2026, 11:31 am
Prabowo rombak Kabinet, lantik menteri, pegawai kanan baharu
April 28, 2026, 8:18 am
Tujuh maut, dua tren bertembung di Bekasi
April 23, 2026, 1:17 pm
Trump nafi tetapkan tarikh tamat perang AS-Israel dengan Iran
April 22, 2026, 11:15 am
Pesawat tak boleh terbang, penumpang easyJet diarah turun gara-gara terlebih had berat
April 22, 2026, 9:32 am
Trump umum lanjutan gencatan senjata dengan Iran, rundingan damai diteruskan
April 13, 2026, 10:41 am
Harga minyak global melonjak semula susulan sekatan AS ke atas Selat Hormuz
April 10, 2026, 1:15 pm
Trump beri amaran kepada Iran henti caj kapal tangki minyak lalu Selat Hormuz
April 6, 2026, 8:00 pm
Kapal pertama Malaysia melepasi Selat Hormuz, Iran tunai janji kepada 'rakan setia'
April 6, 2026, 10:31 am
