Berita Dunia
'Asap tak ada ic, tak kenal sempadan', Menteri Indonesia ulas jerebu di Sarawak
JAKARTA 3 SEPTEMBER - Menteri Kehutanan Indonesia, Raja Juli Antoni berkata, asap akibat kebakaran hutan dan tanah tidak mengenal sempadan negara susulan jerebu yang turut memberi kesan kepada Malaysia.
Beliau menggunakan ungkapan 'asap tidak ada Kartu Tanda Penduduk (kad pengenalan)' bagi menggambarkan bagaimana asap boleh bergerak merentasi sempadan mengikut arah angin.
Menurut Raja Juli, arah angin ketika ini menyebabkan asap bergerak ke kawasan tertentu, namun keadaan sama juga boleh menyebabkan asap dari negara jiran memasuki Indonesia.
“Kalau arah anginnya dari sana, kebakaran yang berlaku di sana juga boleh masuk ke Indonesia kerana memang asap tidak ada KTP,” katanya di pejabat Kementerian Kehutanan di Jakarta pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan Indonesia akan terus berusaha mencegah pencemaran jerebu rentas sempadan akibat kebakaran hutan dan tanah.
“Kita akan terus berusaha semaksimum mungkin supaya tidak memberikan kesan negatif atau kemudaratan kepada negara jiran,” katanya.
Raja Juli turut menegaskan Indonesia akan terus bekerjasama dengan negara jiran bagi mengawal kebakaran hutan dan mengelakkan kejadian jerebu rentas sempadan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan arahan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bahawa keselamatan rakyat perlu menjadi keutamaan dalam usaha menangani kebakaran hutan.
Menurutnya, anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Nasional Indonesia (Polri) serta pasukan Manggala Agni (Briged khas Indonesia untuk mengawal kebakaran hutan dan tanah) terus digerakkan bagi mengawal kebakaran dan melindungi penduduk terjejas.
Beliau turut meminta masyarakat dan syarikat besar tidak melakukan aktiviti pembersihan tanah secara pembakaran ketika musim kering, khususnya sepanjang September.
Raja Juli berkata, kerjasama semua pihak penting bagi mengurangkan risiko kebakaran hutan sekali gus mengelakkan asap daripada memberi kesan kepada Indonesia serta negara jiran.
Berita berkaitan
September 3, 2026, 4:24 pm
Operasi robohkan masjid secara 'live' cetus kontroversi di India
August 30, 2026, 10:01 am
Detik cemas sekeluarga terperangkap dalam arus deras banjir di Nepal
August 29, 2026, 9:23 am
Banjir Nepal: Dua rakyat Malaysia berjaya dikesan, angka korban melepasi 500 orang
August 28, 2026, 2:52 pm
Polis tahan 2 suspek curi subang dari telinga mayat mangsa banjir di Nepal
August 27, 2026, 3:48 pm
Nepal terima kifarah? 3 minggu sebelum banjir, masjid diceroboh, al-Quran dibakar
August 27, 2026, 10:38 am
Warga emas tolak, tampar budak lepas gaduh dengan cucu
August 27, 2026, 10:16 am
Rakaman runtuhan bongkah ais, batu sebelum becana besar melanda sempadan Nepal-China
August 25, 2026, 12:56 pm
