Berita Berita
Ada sejarah perjalanan ke Afrika Barat, KKM kesan kluster MPOX baharu babit empat sekeluarga
PUTRAJAYA 16 Nov – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kewujudan satu kluster baharu mpox membabitkan empat sekeluarga, dengan kes indeks melibatkan seorang lelaki bukan warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke Afrika Barat.
Dalam kenyataan hari ini, KKM memaklumkan pesakit berkenaan mula bergejala pada 20 Oktober lalu sebelum disahkan positif mpox (Clade II) pada 12 November.
Susulan pengesanan kes indeks itu, tiga ahli keluarga serumah turut menunjukkan gejala bermula 30 Oktober dan disahkan positif mpox (Clade II) pada 13 November.
“Kesemua kes berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pengasingan di rumah. Semua kontak rapat telah dikenal pasti, disaring dan diarahkan menjalani pengasingan.
“Sehingga kini, hasil siasatan mendapati penularan hanya terhad dalam kalangan ahli keluarga dan situasi kluster adalah terkawal,” menurut kenyataan.
KKM memaklumkan bahawa sehingga Minggu Epidemiologi ke-46 (ME 46/2025), sebanyak 12 kes mpox dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 23 kes sejak kes pertama dikenal pasti pada Julai 2023.
Daripada jumlah keseluruhan, 22 kes adalah jangkitan mpox Clade II manakala satu kes melibatkan Clade Ib.
Menurut KKM, semua kes berjaya dibendung melalui pengesanan awal, pengasingan pesakit dan pemeriksaan kontak rapat, selain tiada penularan lanjut dikesan dalam komuniti.
“Memandangkan penularan mpox masih berlaku, terutamanya dalam kalangan individu yang mempunyai sejarah aktiviti berisiko, KKM menyarankan agar orang ramai terus mengamalkan langkah pencegahan, termasuk mengelakkan sentuhan langsung dengan individu yang bergejala atau disyaki dijangkiti mpox.
“Dapatkan rawatan segera sekiranya bergejala seperti demam, ruam lepuh serta bengkak kelenjar limfa, termasuk menjalani ujian sekiranya diarahkan oleh pegawai perubatan,” menurut kenyataan itu.
KKM menegaskan bahawa walaupun status mpox sebagai Public Health Emergency of International Concern (PHEIC) telah ditamatkan pada 5 September lalu, pemantauan rapi terhadap situasi dalam dan luar negara akan diteruskan, selain langkah pencegahan dan kawalan secara berterusan.
Mpox ialah jangkitan disebabkan oleh virus monkeypox di bawah genus Orthopoxvirus, dengan gejala termasuk demam, ruam atau lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan serta kawasan mata.
Penularan kebanyakannya berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu dijangkiti, termasuk sentuhan ruam atau lepuh, hubungan seksual atau permukaan dan objek yang tercemar cecair badan pesakit.
Penyakit ini boleh menjadi lebih serius bagi kanak-kanak, wanita hamil dan individu berimuniti rendah.
Berita berkaitan
December 8, 2025, 11:45 am
52,948 guru baharu dilantik sejak 2023, pengisian sekolah capai 98 peratus
December 8, 2025, 11:39 am
Ahli Parlimen Padang Serai didakwa bersubahat terima rasuah RM400,000
December 8, 2025, 11:24 am
'Saya sebagai manusia, saya juga faham orang marah' - Anwar tak salahkan rakyat Sabah
December 8, 2025, 11:10 am
Pelajar Tingkatan 2 maut ditembak ketika main sembunyi-sembunyi di Keningau
December 8, 2025, 9:15 am
Imigresen gempur 13 rumah pelacuran di Kuala Lumpur, 139 PATI dari enam negara ditahan
December 7, 2025, 8:35 pm
Beyond Education Malaysia raih Anugerah Sumbangan Cemerlang Pendidikan Kesihatan Asia
December 7, 2025, 6:34 pm
'Terima kasih orang baik' - Remaja 15 tahun hilang dua bulan ditemui selamat di Cheras
December 7, 2025, 5:42 pm
